PR1MA dijangka jana keuntungan mulai 2021

120

7 DIS: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) bukan sahaja akan membayar semua hutangnya, malah dijangka mula menjana keuntungan semula mulai tahun depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata, PR1MA juga akan meneruskan pembinaan 60 daripada 92 projeknya yang terbengkalai sebelum ini, manakala 32 projek lagi sudah dihentikan selepas perbadanan berkenaan tidak lagi menerima peruntukan dari kerajaan, mulai 2016 .

Berikutan itu, KPKT sudah membuat program rasionalisasi kepada PR1MA dengan mengikut arahan kerajaan 2018 ketika itu di mana projek bawah 15 peratus akan dikaji dan dihentikan manakala projek melebihi 15 peratus diteruskan pembinaan.

zuraida kamaruddin
ZURAIDA KAMARUDDIN

“Daripada 92 projek di bawah PR1MA, kita hentikan 32 projek manakala selebihnya diteruskan secara berperingkat dan kita meneruskan dengan model berbeza sama ada ditukarkan kepada Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah KPKT atau tukar kepada usahasama.

“Ini adalah apa yang kita lakukan sekarang dalam PR1MA untuk memastikan tanah baik menjadi lebih produktif,” ketika dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH Tanjong, Chow Kon Yeow yang meminta KPKT menyatakan apakah pendekatan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan pembekalan Rumah Mampu Milik (RMM) kepada semua negeri termasuk Pulau Pinang adalah mencukupi memandangkan program PR1MA sudah tidak diteruskan sekarang.

Berikutan itu, Zuraida berkata PR1MA sudah membayar RM172 juta kepada 17 daripada 32 syarikat pemaju hartanah yang terbabit dengan projek terbabit sebagai pampasan berdasarkan kos kerja pembangunan dan, faedah atas kelewatan manakala baki selebihnya masih dalam perundingan.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata bayaran berkenaan dibuat dengan mengguna wang hasil jualan unit PR1MA yang sudah siap kepada pembeli berminat, selepas KPKT melakukan rasionalisasi projek berkenaan, sejak 2018.

“Kita berjaya menurunkan kos kira-kira 30 peratus daripada nilai sebenar tuntutan dibuat oleh syarikat pemaju perumahan terbabit.

“Kita akan menggunakan tanah produktif untuk membuat rumah baharu, membuat penilaian terhadap projek dan akan bekerjasama dengan Jabatan Perumahan Negara (JPN), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Zuraida mengesakan KPTKT merancang membina 546,755 unit rumah mampu milik di seluruh negara sejak 2018 hingga Jun 2020.

Beliau berkata daripada jumlah itu 163,337 dalam pembinaan dan 55,496 sudah siap sepenuhnya manakala 327,922 dalam perancangan pembinaan di bawah Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan swasta.

“Kita juga berjaya menyelesaikan masalah pembinaan membabitkan hampir 200,000 unit rumah mampu milik di mana 55,000 sudah siap dan 150,000 lagi dalam pembinaan dijangka siap secara berperingkat pada tahun depan,” jelasnya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.