Mesyuarat Khas MT UMNO bincang isu Perak

171

7 DIS: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato’ Onn yang bermula sebentar tadi.

Mesyuarat khas itu antaranya akan membincangkan perkembangan politik di Perak berikutan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hilang sokongan majoriti sebagai Menteri Besar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Jumaat lalu.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, terdahulu pada jam 5 petang tadi berlangsung Mesyuarat Biro Politik UMNO.

“Ini disusuli dengan Mesyuarat Khas MT UMNO pada jam 8 malam.

“Isu terkini politik Perak akan dibincangkan.

“Pemimpin-pemimpin UMNO dengan izin Allah jua, tentunya membuat keputusan yang tepat dan rasional demi kepentingan rakyat, negeri dan negara,” katanya menerusi Twitter beliau.

Turut hadir kedua-dua mesyuarat berkenaan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Selain itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad juga hadir ke mesyuarat berkenaan.

Kesemua ADUN UMNO di Perak sepakat menamakan Saarani sebagai calon tunggal sebagai Menteri Besar.

Ahmad Zahid pula dijangka menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta, Ipoh esok.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.