Lagi kluster tapak pembinaan dilaporkan

243

7 DIS: Sebanyak 51 kluster aktif COVID-19 melaporkan pertambahan kes pada hari ini dengan kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Bakti di Seremban, 500 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kedua tertinggi ialah Kluster Batu Tujuh dengan 53 kes dan diikuti Kluster Tembok (49 kes).

“Sehingga 7 Disember, terdapat sebanyak 390 kluster telah dilaporkan termasuk dua kluster baharu yang dilaporkan pada hari ini iaitu di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 203 kluster termasuk dua kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Kertang dan Kluster Sembulan. Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 187 kluster,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, dua kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini Kluster Malawati di Kuala Selangor dan Tapak Bina Awan Lembah di Lembah Pantai serta Titiwangsa.

“Kluster Malawati melibatkan daerah Kuala Selangor di negeri Selangor. Kes indeks (iaitu kes ke-65188) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 30 November 2020 hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga 7 Disember 2020, sejumlah 143 individu telah disaring, di mana 14 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” jelasnya.

Kluster kedua katanya, Kluster Tapak Bina Awan Lembah melibatkan daerah Lembah Pantai dan Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta daerah Klang di negeri Selangor.

“Dua kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-69722 dan kes ke 71992) telah dilaporkan positif COVID-19 sejak 4 Disember 2020 hasil saringan individu bergejala dan saringan kendiri.

“Kedua-dua kes indeks adalah pekerja di sebuah tapak pembinaan di daerah Titiwangsa, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sehingga 7 Disember 2020, sejumlah 441 individu telah disaring, di mana 35 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.