KWSP: Kriteria i-Sinar masih kekal

776

7 DIS: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelaskan tiada sebarang perubahan terhadap kriteria semasa i-Sinar.

Menerusi satu kenyataan malam ini susulan laporan media berkenaan permohonan untuk memansuhkan semua kriteria dan syarat kemudahan i-Sinar, KWSP berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang maklum balas daripada orang ramai mengenai program itu.

Malah, KWSP juga mengambil berat terhadap setiap permintaan dan cadangan daripada pihak-pihak berkepentingan.

“KWSP juga ingin menjelaskan bahawa setiap proses atau perubahan dasar dan penambahbaikan akan menjalani proses pertimbangan sewajarnya dan dibentangkan kepada Ahli Lembaga KWSP untuk kelulusan.

“Berikutan itu setiap perkara yang melibatkan isu dasar akan dibawa kepada perhatian dan untuk pandangan Kementerian Kewangan,” kata KWSP.

Tambah kenyataan itu, dijangkakan sebahagian besar daripada lapan juta ahli yang layak memohon di bawah Kategori 1 akan diberikan kelulusan secara automatik tanpa memerlukan sebarang dokumen sokongan.

“Permohonan dalam talian akan bermula 21 Disember 2020 dan pembayaran akan dibuat pada pertengahan Januari 2021,” jelasnya.

KWSP Rabu lalu mengumumkan bahawa pencarum yang layak membuat permohonan kemudahan i-Sinar terbahagi kepada dua kategori.

Kategori 1 adalah pencarum yang bekerja dalam sektor formal, bekerja sendiri, bekerja dalam sektor ekonomi gig, ahli yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau ahli yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Kriteria bagi kategori 1 adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut ketika permohonan; atau ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020.

Bagi kategori ini, tiada dokumen sokongan diperlukan; kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP dan ahli hanya perlu memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 21 Disember 2020.

Bagi kategori 2 pula, KWSP berkata ia adalah untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas Mac 2020, dan pengurangan itu hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan.-Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.