Kok Wai mohon maaf, Annuar kata rujuk peguam

6,038

7 DIS: Kira-kira dua minggu selepas peguam Tan Sri Annuar Musa menyerahkan surat notis tuntutan (LOD), Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, hari ini memohon maaf kepada Menteri Wilayah Persekutan itu berhubung dakwaannya mengenai penjualan tanah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Annuar yang menerima kunjungan mengejut Kok Wai di pejabatnya di ibu negara hari ini berkata, Ahli Parlimen Cheras itu juga menyerahkan surat pengakuan menarik balik kenyataan fitnah terhadap beliau yang disiarkan 18 November lalu.

Berkongsi perkara itu di Twitter beliau hari ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, beliau bagaimanapun akan merujuk terlebih dahulu dengan pihak peguam.

“Saya menerima kunjungan mengejut Pengerusi Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai di pejabat saya sebentar tadi.

“Beliau menyerahkan surat Pengakuan Memohon Maaf dan Menarik Balik Kenyataan Fitnah terhadap saya 18 November lepas.

“Terima kasih. Saya akan rujuk peguam saya,” katanya.

Peguam Annuar pada 20 November lalu memulakan tindakan pertama dengan menyerahkan surat notis tuntutan (LOD) kepada Ahli Parlimen Cheras itu.

Tindakan undang-undang itu diambil Annuar susulan dakwaan Kok Wai mengenai penjualan 42 plot tanah DBKL berlaku dalam tempoh beliau menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan.

Ahli Parlimen Ketereh itu menyifatkan dakwaan Kok Wai itu satu fitnah dan tuduhan berat.

Turut menerima LOD daripada peguam Annuar berhubung isu penjualan tanah DBKL yang didakwa Kok Wai itu ialah portal Malaysiakini dan Ketua Pengarangnya.

“Peguam Tetuan Sharul Hamdi dan Haziq seperti diarah telah menyerah notis siang tadi berbentuk Letter of Demand kepada Ahli Parlimen DAP, YB Tan Kok Wai, Malaysiakini dan Ketua Pengarangnya bersabit fitnah penjualan tanah DBKL.

“Saya menghormati semua mereka berkenaan, namun memandangkan fitnah ini amat besar kesannya kepada saya, keluarga saya, KWP (Kementerian Wilayah Persekutuan), DBKL dan Kerajaan PN (Perikatan Nasional), saya tiada pilihan melainkan (ambil) tindakan undang undang,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.