Kita selesaikan cara rakan seperjuangan

200

7 DIS: Selesaikanlah dengan cara baik sebagai rakan seperjuangan, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa merujuk kemelut politik antara parti pendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

Malah Ahli Parlimen Ketereh itu turut menggesa supaya Majlis Presiden PN bertemu kerana perundingan adalah langkah terbaik.

Pada masa ini, menurut Annuar, UMNO, BN dan Muafakat Nasional (MN) akan mengadakan mesyuarat bermula malam ini bagi membincangkan situasi pembentukan kerajaan negeri Perak.

Beliau berkata, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan diadakan malam ini diikuti dengan mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam esok.

“Malam lusa (Rabu) Jawatankuasa Perundingan MN (bermesyuarat). Berunding itu lebih baik, Majlis Presiden Perikatan Nasional juga patut bertemu.

“Selesaikanlah dengan cara baik sebagai rakan seperjuangan. Teguh kita, menang bersama. Insya-Allah,” katanya menerusi posting akaun Twitter miliknya hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad mengesahkan kehadiran beliau ke mesyuarat MT UMNO malam ini.

Mesyuarat berkenaan akan dipengerusi Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan dijangka memberi fokus kepada situasi pembentukan kerajaan negeri Perak.

Saarani yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan dikatakan antara calon Menteri Besar Perak daripada UMNO bagi menggantikan ADUN Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Jumaat lepas, ketika persidangan DUN Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu gagal memperoleh undian majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya dan meletak jawatan menteri besar secara rasmi pada hari berikutnya.

Semalam, Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pucuk pimpinan parti itu akan membincangkan isu pembentukan kerajaan baharu negeri Perak bagi menentukan sama ada parti itu akan terlibat atau sebaliknya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.