Bajet Kementerian Pengangkutan lulus, PH gagal lagi

238

7 DIS: Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan walaupun cuba dihalang oleh Pakatan Harapan (PH).

Keputusan undi belah bahagi mendapati seramai 109 Ahli Parlimen bersetuju manakala 94 tidak bersetuju manakala 17 orang tidak hadir.

Terdahulu, Ahli Parlimen PH Seremban, Anthony Loke bangkit mencadangkan usul belah bahagi dilakukan setelah penggulungan perbahasan selesai dilakukan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Anthony yang juga bekas Menteri Pengangkutan era pentadbiran PH mendakwa Ka Siong tidak menjawab semua isu yang dibangkitkannya dalam perbahasan.

Sementara itu dalam penggulungannya, Ka Siong berkata, kerajaan Malaysia menanggung 30 peratus daripada kos guaman dan perbicaraan mahkamah bagi membawa pihak bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang membawa 298 penumpang dan krew di ruang udara timur Ukraine, pada 17 Julai, 2014.

Menurut beliau, kerajaan memperuntukkan RM23 juta menerusi Belanjawan 2021 bagi membiayai kos guaman dan perbicaraan mahkamah kes MH17, manakala selebihnya ditanggung oleh negara lain yang mempunyai kepentingan.

“Kita mahu dalang insiden ini dituduh di mahkamah, justeru proses masih berjalan, dengan penyiasatan diterajui pihak berkuasa Belanda, iaitu Lembaga Keselamatan Belanda dan Pasukan Penyiasatan Bersama Antarabangsa (JIT) untuk elemen jenayah,” katanya.

Ka Siong berkata demikian ketika menjawab soalan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen BN Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias, yang meminta Menteri Pengangkutan menjelaskan perincian peruntukan RM23 juta diperuntukan kerajaan dalam Belanjawan 2021 untuk kes MH17.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen BN Ayer hitam itu berkata, perbelanjaan RM4.175 bilion akan dibahagikan mengikut lapan kategori utama dengan projek rel atau keretapi diberikan peruntukan tertinggi, iaitu RM3.21 bilion atau 76.9 peratus yang merangkumi kerja membaik pulih dan pelbagai kerja pengukuhan.

“Ini termasuk mengukuhkan landasan keretapi Pantai Timur, meningkatkan keupayaan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), projek pembaikan kereta api Sabah dan pembelian bekalan pusingan KTMB.

“Pengangkutan awam bandar pula diperuntukkan RM521 juta atau 12.48 peratus untuk kerja pembinaan infrastruktur seperti RM500 juta bagi Sistem Transit Rapid (RTS) dan RM21 juta kepada penyediaan ‘Park and Ride’ yang memberi keselesaan kepada pengguna pengangkutan awam.

“Projek pengangkutan udara diberikan RM195 juta atau 4.67 peratus bagi kerja pembinaan dan menaik taraf kemudahan lapangan terbang serta pembangunan sistem kawalan, pengurusan trafik udara, komunikasi dan radar,” katanya.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata kategori lain merangkumi projek pengangkutan yang diperuntukkan RM148.5 juta, bangunan dan pentadbiran kementerian (RM55.8 juta), projek pengangkutan jalan (RM25 juta), penyelidikan dan pembangunan kejuruteraan (RM18 juta) serta Unit Pengurusan Program Kerjasama Industri (RM1.2 juta). – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.