UMNO, Pas bertemu tangani kekusutan Perak

157

6 DIS: UMNO dan PAS akan mengadakan pertemuan segera untuk membincangkan perkembangan politik terkini termasuk kemelut jawatan Menteri Besar di Perak.

Setiausaha Agung Bersama Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa, berkata pertemuan itu penting untuk menangani segala kekusutan melanda berhubung isu berkenaan.

“Pemimpin UMNO dan PAS di peringkat MN akan segera bertemu untuk sama-sama berbincang perkembangan politik semasa, termasuk isu Perak.

“Adalah penting kita tangani bersama semua kekusutan. Jangan mengharap untung secupak, tapi akhirnya rugi segantang,” katanya menerusi Twitternya hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, UMNO Perak mempunyai ramai pemimpin berpengalaman dan berwibawa untuk menyelesaikan kemelut yang ada.

“Kita yakin mereka mampu menangani isu melanda UMNO negeri itu,” katanya yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.

Siapa calon Menteri Besar Perak masih menjadi teka-teki hingga kini dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, pagi ini.

Setakat ini, BN, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) masih optimis untuk mengekalkan kerajaan negeri itu kepada gabungan Perikatan Nasional (PN), sungguh pun digembar-gemburkan kononnya UMNO akan bergabung dengan parti dalam Pakatan Harapan (PH).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.