Peletakan jawatan Ahmad Faizal diterima

115

6 DIS: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini menerima peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Perak, Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor, berkata Ahmad Faizal menghadap Sultan Perak di Istana Kinta pada jam 3 petang semalam.

Katanya, Ahmad Faizal berbuat demikian selepas kehilangan sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak selepas usul percaya yang dikemukakan, kelmarin.

“Ahmad Faizal menyembahkan watikah memaklumkan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Perak terjejas secara langsung berdasarkan peruntukan Fasal (1) Perkara XII, dan perenggan (a) Fasal (2) perkara XVI (6), Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

“Dengan itu, beliau mempersembahkan hasrat meletak jawatan sebagai Menteri Besar bersama ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) melalui warkah bertarikh 19 Rabiulakhir 1442 (5 Disember 2020), mendapat perkenan baginda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Rahim berkata, Sultan Perak menzahirkan titah terima kasih kepada Ahmad Faizal yang melaksanakan tugas Menteri Besar sejak 12 Mei 2018 setelah mendapat perkenan dua kali mengangkat sumpah jawatan dan menzahirkan titah terima kasih kepada semua ahli EXCO Perak atas perkhidmatan yang diberi dalam tempoh perkhidmatan.

Petang semalam, Ahmad Faizal mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar selepas hanya mendapat 10 sokongan daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan 48 menolak dan satu berkecuali dalam undi percaya yang dikemukakan terhadapnya.

Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-13 pada 13 Mac lalu selepas mendapat sokongan majoriti DUN.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.