Menteri kedua Indonesia ditahan rasuah

76

6 DIS: Menteri Hal Ehwal Sosial Indonesia, Juliari P. Batubara ditahan Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) awal pagi tadi.

Ia sebahagian daripada siasatan terhadap kes rasuah membabitkan syarikat swasta yang telah memenangi kontrak dari kementeriannya untuk membekalkan pakej bantuan kepada mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Penahanan itu dibuat sehari selepas KPK berjaya menumpaskan usaha ketika insiden penyerahan beg pakaian dan beg galas berisi wang tunai dalam mata wang tempatan rupiah, dolar Amerika Syarikat (AS) dan dolar Singapura bersamaan 14.5 bilion rupiah (RM4.19 juta) kepada menteri dan dua pegawai tinggi kementerian.

Juliari adalah menteri kedua di bawah pimpinan Presiden, Joko Widodo yang terbabit dalam kes rasuah selepas Menteri Maritim dan Perikanan, Edhy Prabowo.

Ketua KPK, Firli Bahuri menamakan Juliari sebagai suspek rasuah susulan daripada serbuan itu. Menteri itu menyerah diri dan hadir ke KPK jam 2.50 pagi tadi.

Juliari, ahli politik yang mewakili kerajaan pemerintah, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) dilantik sebagai menteri pada Oktober 2019.

Dalam sidang media yang diadakan hari ini, Firli mendedahkan Juliari menerima 8.2 bilion rupiah bagi fasa pertama bantuan pakej sosial kerajaan untuk COVID-19 DAN 8.8 bilion rupiah dalam fasa kedua.

Dalam fasa kedua ini, wang berkenaan digunakan untuk pengagihan makanan seperti minyak masak dan beras dari Oktober hingga Disember.

Pada 25 November, Menteri Maritim dan Perikanan, Edhy Prabowo, ditahan atas tuduhan rasuah berkaitan dengan keputusan kementeriannya berhubung kelulusan lesen eksport benih udang galah.

Beliau dan beberapa pegawai tinggi kementeriannya ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta selepas mereka kembali dari lawatan ke AS.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.