ESSCOM tahan 3 perompak warga asing

69

6 DIS: Pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan tiga lelaki warga asing disyaki menjadi dalang utama dalam beberapa siri rompakan di laut di daerah Tawau dan Kunak, sebelum ini.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 20 hingga 50 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan di dua rumah tidak bernombor di kawasan pondohon di Pulau Nusa Tengah dan Pulau Omadal oleh pasukan khas ESSCOM.

Komander ESSCOM Datuk Ahmad Fuad Othman, berkata susulan tangkapan itu pihaknya percaya dapat menyelesaikan empat kes rompakan dan samun bersenjata iaitu masing-masing membabitkan tiga kes di perairan Inderasabah, Tawau dan satu kes di perairan Kunak.

Terdahulu katanya, dalam serbuan pertama kira-kira 9.30 malam pada Jumaat, pasukan keselamatan berjaya menahan dua suspek selain turut menemukan sepucuk pistol jenis Colt .45, kelopak berisi enam butir peluru .45; serta 19 lagi butir peluru jenis sama yang disimpan di dalam beg silang di atas lantai rumah terbabit.

“Turut dirampas sebuah perahu dan enjin sangkut 30hp (kuasa kuda) yang disyaki enjin curi, sebilah parang dan telefon bimbit jenis Vivo 1713 yang dianggarkan bernilai RM12,700.00,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Ahmad Fuad berkata suspek ketiga berjaya ditahan dalam serbuan kedua di Pulau Omadal kira-kira pada jam 7.00 pagi semalam.

“Kesemua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK) samun berkawan bersenjata,” katanya.

Beberapa kejadian samun dan rompakan di laut dilaporkan berlaku di kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah ESSZONE termasuk di Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna sejak kebelakangan ini.

Terbaru, kejadian rompakan dilaporkan membabitkan nelayan diacu pistol sebelum dirompak dua lelaki tidak dikenali ketika menangkap ikan di atas Bagang (pelantar sangkar ikan) di Tanjung Kiras, Inderasabah, Tawau dekat sini, kira-kira jam 5 petang pada Jumaat.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.