Belanjawan Johor 2021 lulus, tepis spekulasi

131

6 DIS: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sebulat suara meluluskan Belanjawan Johor 2021 sekali gus menepis pelbagai spekulasi mengenai kerjasama politik antara parti Perikatan Nasional (PN) di negeri tersebut.

Proses pengundian Belanjawan Johor berjumlah RM1.857 bilion yang dibentang dengan matlamat mendepani wabak COVID-19 itu sebelum ini menjadi tumpuan susulan beberapa kenyataan pemimpin politik kerajaan dan pembangkang.

Ia berikutan perkembangan di DUN Perak Jumaat lalu yang menyaksikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti ADUN di negeri itu selepas undi percaya ke atasnya dikemukakan.

Belanjawan Johor 2021 dengan tema ‘Berdaya Tahan Demi Kemakmuran’ itu dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, pada 26 November lalu.

Belanjawan 2021 Johor itu mengalami defisit sebanyak RM248.14 juta, selepas ia merekodkan belanjawan lebihan 10 tahun berturut-turut, sebelum ini.

Hasni Mohammad, ketika membentangkan belanjawan itu dilaporkan berkata, ia berikutan unjuran hasil negeri adalah sebanyak RM1.609 bilion manakala unjuran perbelanjaan pula berjumlah RM1.857 bilion.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga ADUN Johor turut hadir pada hari terakhir Sidang DUN Johor hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.