517 dikompaun, 119 aktiviti pusat hiburan

39

6 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 518 individu kerana kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam, termasuk 517 dikompaun dan seorang direman.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (193), aktiviti pusat hiburan (119), tidak memakai pelitup muka (71), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (58), dan lain-lain (77).

ismail sabri yaakob

“Pihak berkuasa berjaya menahan 47 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas dua kenderaan darat menerusi 292 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan dalam Ops Bentang di seluruh negara, semalam.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengesahkan sejak 24 Julai sehingga 5 Disember 2020, seramai 81,896 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 79 Hotel dan 18 Institut Latihan Awam (ILA) di seluruh negara.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 11,485 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 509 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 69,902 individu telah dibenarkan pulang. Mereka telah pulang dari 36 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Ethiopia, Maldives dan Oman,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.