Remaja Palestin maut, 5 peluru Israel dalam perut

904

5 DIS: Seorang remaja Palestin terbunuh dalam pertembungan dengan tentera rejim Zionis Israel di lokasi tunjuk perasaan di Tebing Barat, semalam.

Memetik laporan Aljeera, Kementerian Kesihatan Palestin berkata, Ali Ayman Nasr Abou Aliya, 13, cedera parah akibat ditembak dengan lima peluru hidup pada perutnya di utara Ramallah.

“Mangsa yang dalam keadaan kritikal dibawa ke sebuah hospital di Ramallah untuk dirawat namun dia kemudian meninggal dunia,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Salah seorang pemimpin di kampung al-Mughayyir, Marzouq Abu Naeem berkata, Ali Ayman menyertai demonstrasi membantah penempatan haram Yahudi di kawasan itu setiap minggu.

Kementerian Luar Palestin pula menyifatkan insiden kejam itu sebagai jenayah perang dan jenayah kemanusiaan.

Agensi berita Palestin, WAFA menyatakan empat lagi mangsa cedera akibat ditembak tentera rejim.

Walau bagaimanapun, jurucakap tentera rejim cuba menegakkan benang basah dengan mendakwa pihaknya tidak menggunakan peluru hidup seperti yang didakwa.

Katanya, tentera rejim Zionis Israel cuma menggunakan ‘kaedah penyuraian rusuhan’ terhadap peserta demonstrasi yang melontar batu ke arah mereka serta membakar tayar.

Perkampungan al-Mughayyir terletak berhampiran beberapa penempatan haram Yahudi dan sering menyaksikan pertembungan antara rakyat Palestin dan pendatang haram Yahudi sebelum ini.

Kampung itu juga berdekatan dengan Ras al-Teen, di mana rejim Zionis Israel berhasrat untuk merobohkan sebuah sekolah yang dibiayai oleh Kesatuan Eropah di situ awal bulan lalu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.