Peja sah letak jawatan MB, barisan Exco Perak bubar

782

5 DIS: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar Perak yang berkuat kuasa hari ini.

Surat peletakan jawatan Menteri Besar Perak itu dibuat selepas beliau diperkenan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, Ipoh, Perak, kira-kira 3 petang tadi.

“Saya amat menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan di kesempatan berkenaan saya telah menyembahkan warkah peletakan jawatan saya sebagai Menteri Besar Perak Darul Ridzuan dan seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

“Saya menyembahkan rasa penghormatan untuk berkhidmat di bawah naungan kerajaan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan,” katanya menerusi sidang media khas yang disiarkan secara langsung dalam Facebook rasminya, hari ini.

Semalam, keputusan undi percaya terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam sidang DUN Perak, semalam yang menyaksikan majoriti ADUN di negeri itu hilang kepercayaan terhadapnya.

Keputusan undi belah bahagi yang dijalankan mendapati sebanyak 48 ADUN tidak bersetuju berbanding 10 bersetuju manakala 1 undi rosak.

Sebelum mengakhiri perkhidmatannya hari ini, Ahmad Faizal sempat menyampaikan rasa penghargaan dan permohonan maaf kepada semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) khususnya Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Beliau juga mendoakan Perak sentiasa dirahmati Allah SWT, dijauhi dari segala bala dan bencana, dan rakyatnya dikurniakan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

“Tentunya pengalaman ini adalah sesuatu yang amat bermakna, penuh dengan pelbagai cabaran. Saya cuba lakukan terbaik dan sebagai manusia biasa, saya tidak sempurna. Ampun dan maaf dari saya,” katanya.

“Perjalanan ini masih jauh dan panjang. Jika terselisih bahu, tersinggung siku, tegur-tegurlah mantan Menteri Besar anda ini kerana tentunya saya menganggap setiap seorang dari anda sebagai saudara saya di dunia dan akhirat. Kita akan berjumpa kembali tidak berapa lama lagi. Demi rakyat, kerana Allah,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.