Jangan buka ruang DAP kuasai Perak semula

497

5 DIS: UMNO Perak harus ‘memujuk’ semula Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS agar DAP tidak kembali menguasai pentadbiran kerajaan di negeri itu.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata senario politik yang berlaku di Perak harus dijadikan pengajaran agar kerjasama antara parti-parti yang mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) dapat diperkukuhkan.

Menurut beliau, ini seperti saranan daripada UMNO di peringkat pusat yang mahukan BERSATU dan PAS harus bersama mendokong Kerajaan PN Negeri Perak.

kamarul zaman yusoff
KAMARUL ZAMAN YUSOFF

“Kalau UMNO Perak akur kepada pendirian UMNO Pusat seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan maka akan sia-sia sahajalah nampaknya pemimpin DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) menghadap Sultan Perak.

“Apa pun, semoga insiden ini tidak akan berlarutan untuk satu tempoh yang lama, semoga ia boleh menjadi peringatan yang berguna kepada semua pihak serta semoga ia akhirnya akan mampu mengeratkan lagi kerjasama antara UMNO, BERSATU dan PAS,” katanya menerusi kenyataan, hari ini

Beliau mengulas tentang keputusan undi percaya terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam sidang DUN Perak semalam yang menyaksikan majoriti ADUN di negeri itu hilang kepercayaan terhadapnya.

Keputusan undi belah bahagi yang dijalankan mendapati sebanyak 48 ADUN tidak bersetuju berbanding 10 bersetuju manakala 1 undi rosak atau berkecuali yang telah dibentangkan oleh ADUN Pengkalan Baru, Datuk Abd Manaf Hashim.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman yang merupakan Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM) memberitahu, tindakan usul undi percaya itu dilihat sedikit sebanyak mampu menjejaskan kerjasama dan percaturan politik di peringkat Persekutuan.

“Ia agak membingungkan tatkala hubungan di peringkat Pusat sudah kelihatan semakin baik dengan penubuhan Majlis Presiden, hasil cadangan UMNO sendiri, membabitkan Presiden semua parti yang menjadi anggota kerajaan telah diterima baik oleh semua pihak.

“Kalau inilah sahaja tujuannya, iaitu mahu menukar “jawatan Menteri Besar Perak sahaja tanpa mengubah status kerajaan negeri”, sepatutnya boleh dibawa ke Majlis Presiden sahaja,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.