Cari formula terbaik tubuh kerajaan – Sultan Nazrin

406

5 DIS: Susulan perkembangan terbaharu politik di Perak yang menyaksikan proses pertukaran Menteri Besar, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan agar semua pemimpin parti di negeri itu mencari formula terbaik untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, Sultan Nazrin berkenan menerima menghadap tiga pemimpin parti Pakatan Harapan (PH) Perak masing-masing daripada DAP, Parti Keadikan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) sebelum disusuli Pengerusi UMNO Perak, pagi tadi.

Menurut beliau, selain menyembah maklum pandangan, keempat-empat pemimpin parti itu turut menyatakan pendirian yang dipegang mereka serta usaha dilakukan ketika ini bagi membentuk kerajaan yang cukup majoriti.

“Atas permintaan mereka, Tuanku memberi perkenan menghadap, mereka menyembahkan pandangan mereka tentang keadaan semasa dan pendirian parti dalam suasana politik di Perak sekarang.

“Segala pandangan itu didengari, tetapi bukanlah tanggungjawab baginda campur tangan dalam urusan masing-masing. Sultan hanya boleh menasihatkan dan carilah formula terbaik untuk menubuhkan kerajaan dan pimpinan baharu di negeri Perak,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Istana Kinta, Ipoh, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Annuar turut mengesahkan bahawa Sultan Nazrin berkenan menerima bagi menghadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Istana Kinta, esok pada jam 10 pagi.

“Kita difahamkan mereka (UMNO) masih dalam perundingan dan malam ini juga dimaklumkan UMNO akan adakan mesyuarat khas parti,” katanya.

Terdahulu, tiga pengerusi parti gabungan dalam PH Perak tiba di pekarangan Istana Kinta untuk menghadap sembah Sultan Nazrin berhubung kemelut politik di negeri ini.

Mereka ialah Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi PAN Perak, Datuk Asmuni Awi.

Pertemuan berlangsung selama hampir satu jam dan selang beberapa minit kemudian, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad tiba untuk menghadap sebelum keluar selepas 20 minit kemudian.

Terdahulu, usul yang dikemukakan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu semalam tidak memihak kepadanya apabila menyaksikan hanya 10 undi menyokong, 48 undi menolak manakala satu undi rosak.

Perak mempunyai 59 ADUN yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN) 25, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) 5, PAS 3, DAP 16, PKR 3, dan PAN 5 manakala masing-masing satu kerusi milik Gerakan dan Bebas.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.