Bincang baik-baik, jangan lupa semangat keluarga PN

146

5 DIS: Proses pertukaran Menteri Besar Perak perlu ditangani segera dengan semangat kekeluargaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengelakkan perselisihan dalam kalangan parti-parti yang bersekutu di bawahnya.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, susulan perkara semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah berada di Perak bagi melakukan perjumpaan bersama Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak bagi mendapatkan penjelasan.

Oleh itu, katanya, tidak banyak perkara yang dapat diulas memandangkan proses perbincangan sedang diteruskan oleh Presiden parti.

“Saya berharap ia dapat ditangani dengan baik supaya keadaan tidak menimbulkan ketidakstabilan, perpecahan dan harap ia dapat diuruskan secara keluarga dan dalam semangat PN,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas isu tersebut pada sidang media selepas menghadiri Program [email protected] masyarakat miskin di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Lembah Pantai, Kuala Lumpur, hari ini.

Justeru itu, Annuar yang juga merupakan Ahli Parlimen Ketereh memberitahu, spekulasi yang tular dalam media sosial mengenai krisis Menteri Besar Perak perlu diuruskan secara berhati-hati dan mendalam.

“Saya bereaksi normal, ia bukan saja PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga difahamkan akan memberi reaksi yang sama sekiranya berlaku keterlibatan DAP dan PKR misalnya.

“Jadi tidak mengapa. Saya fikir setiap parti memberi reaksi awal masing-masing dan ia baru berlaku semalam dan kenyataan itu juga dikeluarkan semalam.

Tambah beliau, apabila berlaku sesuatu isu politik, keresahan dan spekulasi mula memainkan peranan maka kepimpinan perlu menguruskan dengan baik atas semangat Muafakat Nasional (MN) serta gabungan PN.

“Selepas itu, pemimpin parti perlu duduk bersama bagi menguruskan keadaan seperti saya pernah tegaskan sebelum ini, itu bukan masalah nasional, tetapi ia merupakan masalah di Perak.

“Ada perkara yang kita boleh dengar di luar, ada juga perkara-perkara yang tidak dibincangkan di khalayak. Oleh kerana ia berlaku semalam, saya percaya semua pucuk pimpinan PN akan duduk dan bincang perkara itu baik-baik,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar berkata kemelut yang melanda Kerajaan Negeri Perak bukanlah isu nasional dan perbincangan formal terhadap usul tersebut tidak pernah dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang telah menolak Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai Menteri Besar.

“Tindakan majoriti ADUN UMNO yang menolak usul percaya terhadap Timbalan Presiden PPBM itu juga tidak dibincangkan secara formal oleh parti dan gabungan BN, sama ada di dalam Biro Politik UMNO, Mesyuarat Majlis Tertinggi BN dan Majlis Tertinggi UMNO.

“Sebaliknya, ia diputuskan sendiri wakil-wakil rakyat atau ADUN di Perak,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.