Walaupun terpaksa berundur, Peja pamer sikap matang

145

4 DIS: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menunjukkan sikap matang apabila memberi jaminan untuk memastikan proses peralihan jawatan Menteri Besar Perak berjalan lancar.

Penganalis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang itu mempamerkan sikap terbuka agar kebajikan rakyat Perak yang sedang berdepan pandemik COVID-19 tidak terjejas.

Menurut Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, ternyata Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengetepikan politik peribadi demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

kamarul zaman yusoff
KAMARUL ZAMAN YUSOFF

“Kalau nak kira BERSATU nak berpolitik, nak memperjuangkan nasib Menteri Besar mereka, maka boleh sahaja Menteri Besar menyembah maklum Sultan Perak bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seterusnya membolehkan pilihanraya negeri dilangsungkan. Ini sudah pasti akan membawa kepada satu lagi kemelut politik di negara kita.

“Namun saya difahamkan bahawa Ahmad Faizal tidak mengambil tindakan sedemikian dan akan memastikan perolehan kuasa berjalan dengan lancar dengan penuh berhemah demi kepentingan rakyat di negeri Perak,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.

Beliau mengulas tentang keputusan undi percaya terhadap Ahmad Faizal dalam sidang DUN Perak hari ini yang menyaksikan majoriti ADUN di negeri itu hilang kepercayaan terhadapnya.

Keputusan undi belah bahagi yang dijalankan mendapati sebanyak 48 ADUN tidak bersetuju berbanding 10 bersetuju manakala 1 undi rosak atau berkecuali.

Usul tersebut dibentangkan oleh ADUN Pengkalan Baru, Datuk Abd Manaf Hashim.

Kamarul Zaman berpadnangan, kerajaan negeri Perak yang baharu perlu bekerjasama dengan ADUN-ADUN PAS dan Bersatu bagi melancarkan hubungan baik dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Pusat.

“Kena bentuk kerajaan negeri Perak dengan kerjasama parti komponen PN bagi memastikan ia tidak jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH). Mereka perlu mengambil BERSATU dan PAS, pastikan jangan pecah,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.