Vaksin: Keputusan majlis fatwa diumum minggu depan

135

4 DIS: Kenyataan berhubung status penggunaan vaksin COVID-19 dalam kalangan umat Islam di negara ini akan dikeluarkan pada minggu depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata ini kerana keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas mengenai hal itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu.

Beliau turut mengesahkan perbincangan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas itu bersidang semalam

“Perkara ini sudah dibincang tetapi kita akan mengikut secara tertib dan berhemah yang mana kita akan persembah perkara ini kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Insya-Allah tidak ambil masa yang lama, dalam minggu depan kita akan bagi kenyataan,” katanya kepada media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan video kreatif bersempena Maulidur Rasul 1442H di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Zulkifli memberitahu pihaknya juga dalam proses mengeluarkan majalah khas untuk memberi penjelasan dan ulasan berkenaan penggunaan vaksin dalam kalangan umat Islam sebagai usaha menangani permasalahan ummah dengan memberi kefahaman yang sebenarnya mengenai perkara tersebut.

Tambah beliau, majalah setebal 40 muka surat itu akan diterbitkan dalam bentuk santai dan mudah difahami kira-kira dua minggu lagi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.