Reformasi penjara atasi masalah kesesakan – Rais

98

4 DIS: Kerajaan seharusnya melaksanakan reformasi penjara dengan jangka pendek dan panjang bagi memastikan kesesakan di penjara dapat diatasi yang menjadi salah satu punca kepada penyebaran COVID-19 meningkat pantas.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, langkah ini perlu melibatkan pelbagai aspek dalam menjamin kesihatan, kebersihan dan keberkesanan notasi kanun keseksaan, menggelakan suasana penjara terbiar dan lain-lain langkah sementara.

Menurut beliau, pihaknya berpandangan pindaan undang-undang sedia ada (Akta Penjara 1995) dan kaedahnya dilihat mendesak.

RAIS YATIM
RAIS YATIM

“Kaji sistem bantuan untuk jalani hukuman alternatif dalam masyarakat. Dapatkan dan amalkan pendekatan baharu supaya soal penguatkuasaan tidak diremehkan.

“Memperluaskan juga mekanisme Pembebasan Banduan secara kebenaran khas atau yang berlesen dengan syarat keselamatan awam terjamin.

“Lakukan pendekatan anti COVID-19 yang khusus wajib dilakukan secara semerta untuk mengelakkan penyebaran lebih banyak Kluster Tembok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Rais memberitahu, segala cadangan itu telah dirumuskan oleh Jawatankuasa Khas Dewan Negara sebagai keprihatinan Dewan Tertinggi Legislatif terhadap sesuatu fenomena atau isu besar yang melanda Negara dan rakyat.

Tambah beliau, isu kesesakan sudah muncul sebagai salah satu perkembangan yang wajar diberi perhatian khususnya kaitannya dengan kes-kes COVID-19 dalam kalangan banduan yang dilaporkan kian meningkat.

“Tidak mustahil Kluster Tembok akan berulang jika langkah penyelesaian segera yang tuntas tidak dilaksnakan.

“Dalam hal ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) difahamkan sedang melakukan beberapa langkah reformatif tersebut. Dewan Negara selaku badan legislatif berperanan sama untuk mencari penyelesaian terbaik,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.