MB Kedah jawab tohmahan isu balak dan REE

398

4 NOV: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, memberi jaminan tidak ada sebatang pokok balak yang akan ditebang ketika proses penerokaan mineral ‘rare earth elements’ (REE) di negeri ini.

Beliau berkata, ia berikutan permit yang diluluskan kerajaan negeri bukan bagi tujuan melombong, sebaliknya hanya permit untuk kerja meneroka.

“Tambahan pula proses mengeluarkan REE tidak memerlukan aktiviti perlombongan seperti melombong bijih timah, emas, batu besi dan lain-lain.

“Hanya pihak yang mempunyai teknologi tinggi mampu melakukan kerja mengekstrak REE. Saya dimaklumkan dengan kemajuan teknologi sekarang, tidak ada sebatang pokok balak akan ditebang dalam aktiviti mengeluarkan REE,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkata, pihaknya juga difahamkan kawasan yang dikatakan mempunyai REE itu sudah dibalak sepenuhnya dua tahun lalu.

Jelasnya, sebahagian kawasan mengandungi mineral itu juga adalah hak milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

“Jangan ingat orang lain tamak haloba dengan kayu balak seperti pihak tertentu,” katanya.

Rabu lalu, Muhammad Sanusi berkata kerajaan Kedah meluluskan permit kepada sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di Kuala Lumpur untuk meneroka mineral di negeri ini yang dianggarkan bernilai RM62 billion daripada keseluruhan RM43 trillion hasil bumi itu di negara ini.

Mineral jenis REE dan tidak beradioaktif didapati di bawah muka bumi Sik, kawasan UIu Muda, Baling serta sedikit di Lenggong, Perak.

Pengumuman mengenai perkara itu mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang bimbang ia akan menyebabkan berlakunya pembalakan di kawasan Hutan Simpan di Kedah.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA), Puan Sri Dr Shariffa Sabrina Syed Akil mendakwa kawasan cadangan pengekstrakan itu terlampau luas di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik membabitkan 20,234.3 hektar yang dibimbangi menyebabkan gangguan biodiversiti.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.