Maki pekerja kedai, penganggur didenda RM3,000

222

4 DIS: Seorang penganggur didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh, Perak, hari ini atas kesalahan mengaibkan seorang pekerja kedai runcit dengan cara mengeluarkan kata-kata kesat dan meludahnya lima hari lalu.

Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus menjatuhkan hukuman itu ke atas M Gunalan, 47, dari Taman Rasi Jaya di sini, selepas dia mengaku bersalah berbuat demikian terhadap Nor Asni Zilzawani Mohd Zahid, 22, yang menegurnya kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Lelaki itu dituduh berbuat demikian dengan tujuan mengganggu kesantunan wanita itu di sebuah kedai runcit di Lahat Baru 2 di sini pada 8.30 malam Isnin lalu dan pendakwaan dibuat menurut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Asmaniza Mohammad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal kerana perbuatan tertuduh mengganggu sensitiviti antara kaum.

Semasa rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Robert S Gnanarajan memohon hukuman denda yang minimum dengan alasan tertuduh yang pernah menjual ikan di Cameron Highlands tidak lagi bekerja disebabkan COVID-19 selain tertuduh insaf atas perbuatan itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.