Kanabis kekal bahan terlarang di Malaysia

88

4 DIS: Kementerian Dalam Negeri menegaskan bahawa keputusan Persidangan Semula Sesi ke-63 Suruhanjaya Dadah Narkotik tidak akan mengubah status kawalan kanabis dan semua bahan-bahan berkait kanabis dalam negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Hamzah Zainudin berkata, persidangan yang dilaksanakan 2 Disember lepas di Vienna telah bersetuju menerima usul untuk menggugurkan kanabis dan resin kanabis dari Jadual IV Konvensyen Tunggal Mengenai Dadah Narkotik 1961 pindaan Protokol 1972 (Konvensyen 1961).

Menurut beliau, kanabis dan bahan-bahan berkait dengannya masih kekal dikawal di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

hamzah zainudin
HAMZAH ZAINUDIN

“Di mana tindakan undang-undang tetap akan diambil ke atas mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang ini seperti sedia ada.

“Bagi peringkat antarabangsa, keputusan Suruhanjaya Dadah Narkotik tersebut untuk menggugurkan kanabis dan resin kanabis dari Jadual IV Konvensyen 1961 juga tidak melonggarkan kawalan antarabangsa terhadap kanabis.

“Ini kerana ia masih kekal dikawal ketat di bawah Jadual I Konvensyen 1961,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Hamzah, memberitahu kerajaan akan kekal komited bagi membanteras jenayah nakotik di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Malaysia sebagai ahli dalam ketiga-tiga Konvensyen Dadah Antarabangsa iaitu Konvensyen 1961, Konvensyen Mengenai Bahan Psikotropik 1971 dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Perdagangan Haram Dadah Narkotik dan Bahan Psikotropik 1988 kekal komited untuk membanteras jenayah narkotik di peringkat domestik serta global,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.