Kalah undi percaya, Peja janji peralihan jawatan MB lancar

4,795

4 DIS: Usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini menyaksikan beliau hilang kepercayaan daripada majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri tersebut.

Keputusan undi belah bahagi yang dijalankan mendapati sebanyak 48 ADUN tidak bersetuju berbanding 10 bersetuju manakala 1 undi rosak.

Usul tersebut dibentangkan oleh ADUN Pengkalan Baru, Datuk Abd Manaf Hashim.

Dalam ucapan sebelum sidang DUN ditangguhkan, Ahmad Faizal berjanji akan memastikan proses peralihan jawatan Menteri Besar Perak berjalan lancar.

“Dalam waktu ini kita menghadapi keadaan yang tidak menentu, masalah ekonomi, masalah pekerjaan dalam kalangan rakyat dan sebagainya, masalah politik ini tak perlu kita panjang-panjangkan.

“Saya selaku Menteri Besar buat masa ini ingin memberi komitmen untuk memastikan transisi kepada kerajaan yang baharu akan dibuat dengan penuh berhemah demi kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau turut berharap agar segala usaha yang baik oleh pentadbiran kerajaan negeri Perak terdahulu dan sekarang diteruskan oleh kepimpinan baharu kelak.

“Saya berpandangan penggal ini untuk kita memperbetulkan perkara yang tak betul dan memperbaiki yang baik,” jelas ADUN Chenderiang itu.

DUN Perak
Suasana dalam DUN Perak ketika proses undi belah bagai usul undi percaya terhadap Menteri Besar dijalankan.

Yang Dipertua DUN Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid seterusnya menyarankan kepada semua ADUN memberi tepukan gemuruh kepada Ahmad Faizal sebagai tanda penghargaan atas khidmat baktinya selama ini.

Beliau turut memaklumkan akan menyembah maklum Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung keputusan undi percaya tersebut. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.