Jangan ambil mudah akaun media sosial palsu

112

4 DIS: Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengambil mudah terhadap kewujudan akaun-akaun palsu ini dan perlu mengambil tindakan segera jika mereka menemukan akaun-akaun sedemikian.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi kenyataan media memberi peringatan kepada orang ramai untuk sentiasa menjauhi dan berwaspada dengan kewujudan akaun-akaun palsu yang berleluasa di media sosial.

“Mereka boleh menangani kewujudan akaun-akaun yang diragui ketulenannya dengan melaporkannya melalui ruangan Laporan Akaun Palsu (Report Fake Account) yang disediakan oleh pihak penyedia platform media sosial bagi penelitian dan tindakan lanjut berdasarkan pelanggaran Piawaian Komuniti yang ditetapkan.

“Tindakan sedemikian adalah perlu bagi mengelakkan berlakunya penyebaran kandungan tidak baik seperti berita yang mengelirukan, ucapan kebencian dan kandungan berbentuk provokasi yang boleh menjejaskan keselamatan negara,” kata SKMM.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan sama, SKMM menegaskan walaupun pihak penyedia platform media sosial sedang giat mengimbas dan mengesahkan ketulenan akaun-akaun pengguna, masih wujud ketirisan dari mereka.

Justeru, pengguna harus sentiasa berwaspada dengan kewujudan akaun-akaun palsu.

“Ini kerana kadang kala akaun-akaun tidak menunjukkan tanda palsu atau berniat jahat pada mulanya maka penyedia platform memberi mereka keraguan yang munasabah sehingga mereka menunjukkan tanda aktiviti yang tidak baik.

“Penyedia platform akan menemui akaun-akaun ini apabila sistem pengesanan mereka mengenal pasti tingkah laku yang tidak baik atau jika ada pengguna yang melaporkannya kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, SKMM turut berkata mencegah akaun palsu adalah salah satu cara untuk menghentikan penyalahgunaan dan perlindungan lain juga harus diberikan sebaik sahaja kandungan dihasilkan dan interaksi berlaku dengan akaun-akaun palsu ini.

“Pihak MCMC sekali lagi ingin menasihatkan pengguna supaya berwaspada, kekal selamat dan menjadi seorang pengguna bertanggungjawab yang mengamalkan penggunaan Internet berhemah.

“Elakkan daripada menjadi mangsa kepada akaun-akaun palsu dan menyalahgunakan rangkaian media sosial,” kata SKMM.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.