BERSATU pantau situasi buat keputusan

2,143

4 DIS: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menzahirkan rasa amat kesal dengan apa yang berlaku dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu seperti diputuskan Biro Politik BERSATU dalam mesyuarat petang ini.

Menurut beliau, BERSATU ambil maklum bahawa Usul Keyakinan Majoriti Ahli Dewan terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah ditolak oleh UMNO dan Pakatan Harapan (PH).

Tegasnya, BERSATU sentiasa berpegang teguh dengan prinsip persefahaman dan kerjasama yang terbentuk antara parti-parti Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak awal tahun ini demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“Sehubungan itu, BERSATU ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada 4 ADUN BERSATU, 3 ADUN PAS, 1 ADUN UMNO dan 2 ADUN Bebas yang telah menyokong Usul Keyakinan Majoriti Ahli Dewan terhadap Menteri Besar Perak.

“BERSATU akan memantau situasi semasa dan akan terus bersama PAS dan teman-teman parti anggota Perikatan Nasional yang lain dalam membuat keputusan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Berikutan usul itu yang ditolak majoriti ADUN Perak, Pas menyatakan tiga ADUN parti itu tidak akan terlibat dengan pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

UMNO pula dalam reaksinya mahu Kerajaan PN Perak dikekalkan dengan Pas dan BERSATU kekal bersama-sama dalam pembentukan kerajaan baharu kelak.

Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden BERSATU dalam ucapan ringkasnya selepas selesai pengundian usul tersebut menjamin proses transisi yang lancar dan beliau juga diterima menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah petang ini. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.