8 kluster baru, tiga tertinggi berkait tempat kerja

88

4 DIS: Sebanyak 49 kluster melaporkan pertambahan kes posotif COVID-10 pada hari ini dengan tertinggi daripada kluster berkait tapak pembinaan di ibu negara iaitu Kluster Tapak Bina Puteh Lama dengan 159 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini diikuti Kluster Teratai yang berkait sebuah kilang sarung tangan di Klang dengan 62 kes dan Kluster Tapak Bina Damanlela (58 kes).

Katanya, hari ini juga menyaksikan lapan lagi kluster baharu COVID-19 dikesan di negara ini melibatkan Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Perak, Kelantan dan Pahang.

“Kluster pertama ialah Kluster Tapak Bina Muda melibatkan daerah Titiwangsa, Lembah Pantai dan Kepong di Kuala Lumpur, dengan kes awal positif COVID-19 dilaporkan pada 4 Disember hasil saringan bersasar di tempat kerja.

“Sehingga hari ini, 346 individu telah disaring, dan daripada jumlah itu 11 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

“Kedua ialah Kluster Tapak Bina Galeri di Kuala Lumpur melibatkan daerah Lembah Pantai serta Cheras dengan kes-kes awal kluster ini dilaporkan positif COVID-19 pada 2 Disember hasil saringan bersasar di sebuah tapak pembinaan.

“Sehingga hari ini, seramai 232 individu telah disaring, dengan 16 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini, katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Kluster ketiga katanya, ialah Kluster Bukit Dalam juga di Kuala Lumpur melibatkan daerah Lembah Pantai dengan sehingga hari ini, 59 individu disaring dan 13 kes dikesan positif.

Menurutnya, keempat, Kluster Cempaka dikesan di Johor melibatkan daerah Kulai dan Kluang dan setakat ini, 92 individu telah disaring dan 10 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Beliau berkata Kluster Sungai Cincin pula dikesan melibatkan daerah Batang Padang di Perak, Daerah Segamat di Johor dan Daerah Klang di Selangor.

“Kes indeks dilaporkan positif pada 1 Disember hasil saringan individu bergejala. Sehingga hari ini, 32 individu telah disaring, dan 15 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.

Noor Hisham berkata Kluster Huma pula dikesan di Kelantan melibatkan daerah Pasir Puteh serta Kota Bharu apabila kes indeks dilaporkan positif pada 2 Disember hasil saringan kontak rapat, dan sehingga hari ini, 80 individu disaring dengan 20 kes dikesan positif.

Kluster Jalan Genting pula dikesan di Kuala Lumpur dan Pahang yang melibatkan daerah Titiwangsa juga Bentong apabila kes indeks dilapor positif pada 1 Disember hasil saringan tempat kerja, katanya.

“Sehingga 3 Disember sejumlah 21 individu disaring, dan 14 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.

Noor Hisham berkata, Kluster Atabara pula dikesan di Pahang melibatkan daerah Kuantan dan Pekan dengan kes indeks dilaporkan positif pada 2 Disember hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga hari ini 53 individu disaring, iaitu lima kes dikesan positif,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.