412 individu ditahan ingkar arahan PKP

115

4 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 412 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 403 individu dikompaun manakala sembilan orang pula direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (135), aktiviti pusat hiburan (113), tidak memakai pelitup muka (64), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (59), rentas daerah/negeri Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (27) dan lain-lain (14),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri Yaakob
ISMAIL SABRI YAAKOB

Berhubung Op Benteng semalam, beliau memberitahu, pasukan keselamatan berjaya menahan 51 pendatang asing tanpa izin (PATI), 11 tekong serta merampas sebuah bot/kapal dan dua kenderaan darat.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 12,218 operasi sanitasi awam merangkumi 137 zon dilakukan di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu.

Beliau menambah, sebanyak 14,285 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,878 pusat perniagaan, 1,670 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), 2,814 tempat awam, 357 pasar raya dan 6,566 bangunan kerajaan.

“Semalam, sebanyak 41 operasi sanitasi meliputi 10 Zon Merah, 5 Zon Jingga, 11 Zon Kuning dan 2 Zon Hijau yang melibatkan 10 buah negeri dan 1 Wilayah Persekutuan iaitu Melaka (13 operasi), Sabah (10 operasi), Johor (5 operasi), Kelantan (4 operasi), Kedah (3 operasi), Negeri Sembilan (1 operasi), Pulau Pinang (1 operasi), Terengganu (1 operasi), Pahang (1 operasi), Perlis (1 operasi) dan Wilayah Persekutuan Labuan (1 operasi),” jelasnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 81,240 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya telah ditempatkan di 75 hotel dan 17 institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 11,682 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 509 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 69,049 individu telah dibenarkan pulang,” katanya.

Beliau berkaya, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 842 pemeriksaan khas Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPP dan mendapati 841 premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan manakala sebuah premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.