RM100 juta peruntukan selenggara sekolah agama

80

3 DIS: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta menerusi Belanjawan 2021 bagi tujuan penyelenggaraan sekolah tahfiz dan sekolah pondok berdaftar dan sekolah agama rakyat.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan berkenaan disediakan di bawah B11, perkhidmatan am pembendaharaan di bawah butiran 021300 Pemberian Projek Khas.

Beliau berkata, Butiran B11 disebutkan merangkumi peruntukan berjumlah RM922 juta berdasarkan amalan digunakan untuk membiayai langkah tambahan yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2021.

“Antara langkah-langkah ucapan belanjawan yang turut dibiayai dibawah peruntukan ini ialah keperluan tambahan RM120 juta bagi penambahbaikan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk menyediakan makanan berkhasiat bagi pelajar miskin di sekolah rendah di seluruh negara pada tahun depan.

“Kerajaan juga menyediakan peruntukan RM100 juta bagi geran padanan untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ‘social enterprise’ terutamanya untuk program peningkatan pendapatan bagi golongan rentan, menangani isu sosial seperti penderaan kanak-kanak dan gelandangan.

“Peruntukan berkenaan juga akan digunakan untuk pelbagai langkah yang menyumbang ke arah kesejahteraan rakyat termasuk perluasan subsidi perkhimatan awam seperti bas, geran untuk taska, pusat aktiviti warga emas serta perkhidmatan ATM bergerak di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat sebentar tadi.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH Kulai, Teo Nie Ching yang meminta Menteri Kewangan menyatakan butiran dan program/aktiviti di bawah Bekalan 11, Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021 di mana Sekolah Tahfiz, Sekolah Pondok Berdaftar dan Sekolah Agama Rakyat diperuntukkan sebanyak RM100 juta. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.