Prospek gas lebih cerah banding bahan api lain

84

3 NOV: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, prospek jangka panjang untuk gas lebih cerah daripada bahan api fosil lain berikutan kosnya yang rendah dan pelepasan daripada pengeluaran yang lebih rendah.

Kata Perdana Menteri, justeru, penggiat gas perlu memberi tumpuan semula kepada usaha mereka dalam kecekapan modal, pengoptimuman rantaian bekalan, pembangunan pasaran hiliran, mengurangkan intensiti karbon serta digital dan analisis lanjutan.

“Jika berjaya dilakukan, saya yakin gas dapat menghadapi pasaran yang tidak dapat dijangka dan mencari peluang untuk pertumbuhan yang lebih pesat bukan hanya di Malaysia, tetapi pasaran global secara keseluruhan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada Forum Tenaga Antarabangsa (IEF) Ke-7 – International Gas Union (IGU) Ministerial Gas Forum Virtual Roundtable yang diadakan secara maya hari ini.

Muhyiddin berkata, teknologi akan memainkan peranan yang penting dalam merealisasikan masa depan yang positif untuk gas.

Katanya, pengeluar gas boleh menggunakan teknik digital dan analisis lanjutan untuk merealisasikan potensi nilai yang tersembunyi secara signifikan.

“Hanya melalui pelaburan teknologi ini, peranan gas asli dalam mengurangkan intensiti karbon dalam sektor tenaga berbanding campuran tenaga lain dapat dikekalkan dan berkembang dengan menawarkan cadangan nilai yang menarik kepada pengguna,” jelasnya.

Sementara itu, tambah Perdana Menteri, gas asli akan terus membantu merapatkan peralihan tenaga yang tidak dapat dielakkan dan menangani isu perubahan iklim yang dihadapi dunia.

Beliau berkata, campuran tenaga Malaysia telah disokong oleh gas asli selama beberapa dekad dan untuk jangka masa yang panjang, tetapi negara masih banyak yang perlu dilakukan dalam perjalanannya ke arah masa depan yang mampan.

Bagaimanapun, beliau menyatakan keyakinan dari segi pemikiran yang kolektif dan keupayaan merealisasikan peralihan tenaga, memastikan keperluan hari ini dipenuhi dan pada masa sama menangani cabaran yang akan datang.

“Kami berharap gas asli dapat memainkan peranan penting dalam peralihan tenaga ini, menawarkan sumber tenaga asas yang selamat, mampu milik dan mampan bersama dengan sumber tenaga boleh diperbaharui yang berkembang, tetapi sering tidak sekata.

“Sinergi ini memberi peluang pelaburan yang besar, bukan hanya di peringkat huluan tetapi seluruh rantaian nilai,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan, dalam merancang dan melaksanakan dasar, memainkan peranan penting dalam membentuk peluang.

“Banyak akan bergantung kepada kapasiti pelabur untuk menyediakan penyelesaian baharu dan menghadapi risiko dalam hala tuju masa depan pasaran gas dan teknologi.

“Sehubungan itu, kerajaan akan menyediakan insentif kepada pihak berkepentingan utama untuk mempercepatkan pembangunan, pengkomersialan dan pengeluaran teknologi baharu untuk peralihan tenaga,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.