Program Subsidi Upah dilanjut 3 bulan tahun depan

223

3 DIS: Kerajaan akan melanjutkan pelaksanaan Program Subsidi Upah (PSU) secara bersasar selama tiga bulan mulai Januari depan dengan bayaran RM600 sebulan bagi pekerja bergaji RM4,000 ke bawah.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, kerajaan menerusi Belanjawan 2021 akan melanjutkan program berkenaan selama tiga bulan lagi buat majikan yang terkesan khususnya sektor pelancongan dan peruncitan.

Menurut beliau, program itu dilanjutkan kerana berdasarkan rekod Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) sehingga 27 November lalu, bilangan individu yang kehilangan pekerjaan melibatkan kategori pengurus ialah seramai 13,109 orang, kategori profesional pula melibatkan 26,079 orang dan kategori juruteknik serta profesional bersekutu adalah seramai 19,095 orang.

AWANG HASHIM
AWANG HASHIM

“Kategori tersebut merupakan kalangan pekerja yang berpendapatan RM4,000 ke atas. Berdasarkan kepada data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dianggarkan 75 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja adalah daripada golongan B40 yang berpendapatan RM4,000 ke bawah.

“Oleh itu, Program Subsidi Upah yang diperkenalkan oleh kerajaan adalah disasarkan untuk membantu pekerja yang paling terkesan dalam golongan B40. Walau bagaimanapun, bagi golongan pengurusan yang diberhentikan kerja, mereka masih diberi perlindungan di bawah Akta SIP [Akta 800] tertakluk had gaji maksimum RM4,000.

“Ini bermakna pekerja-pekerja yang bergaji melebihi RM4,000 termasuk golongan pengurusan akan mendapat faedah seperti Elaun Mencari Pekerjaan (EMP). Kerajaan juga sedar masih ramai lagi pekerja terkesan terutamanya sektor pelancongan. Dengan itu, kerajaan melalui Belanjawan 2021 akan melanjutkan pelaksanaan PSU selama tiga bulan lagi dengan lebih bersasar, khususnya bagi sektor pelancongan termasuk sektor peruncitan dengan kadar RM600 sebulan bagi pekerja bergaji RM4,000 dan ke bawah,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Awang menjawab soalan Ahli Parlimen PH Ipoh Barat, M Kulasegaran tentang mengapa PSU gagal menyenaraikan pekerja golongan pengurusan sebagai penerima subsidi upah sedangkan statistik menunjukkan secara jelasnya bahawa 59 peratus kadar pengangguran membabitkan pekerja berkemahiran tinggi.

Terdahulu, bagi menjawab pertanyaan Kulasegaran tentang mengapa seramai 81,217 orang pekerja masih hilang pekerjaan seperti yang dicatatkan pangkalan data SIP setakat 25 September 2020 walaupun Program Subsidi Upah dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) telah dilaksanakan oleh kerajaan, Awang memberitahu penularan COVID-19 adalah satu kejadian luar jangka yang melanda seluruh dunia dan Malaysia turut terkesan.

Beliau memberitahu, terdapat juga majikan dalam sektor-sektor tertentu yang terpaksa melaksanakan pemberhentian pekerjaan disebabkan oleh faktor-faktor luar kawalan yang tidak dapat dielakkan.

Tambah beliau, berdasarkan rekod SIP, seramai 99,696 orang pekerja telah diberhentikan bermula dari Januari sehingga 27 November lalu.

“Sebagai contoh majikan di sektor penginapan sebahagian besar pendapatan yang diperolehi adalah daripada kehadiran pelancong dari luar negara dan pada masa yang sama negara ini juga terjejas akibat daripada penularan wabak ini. Contoh lain adalah di sektor pengangkutan seperti Malindo Airways Sdn Bhd di mana seramai 1,861 pekerja telah diberhentikan kerja.

“Antara sebab-sebab kehilangan pekerjaan yang dilaporkan oleh pekerja adalah disebabkan penutupan perniagaan pengecilan tenaga kerja, skim pemisahan sukarela (VSS) dan mutual separation scheme (MSS). Seterusnya, syarikat mengalami masalah kewangan kritikal diikuti dengan penutupan separa serta pengambilalihan syarikat dan penempatan semula syarikat.

“Faktor-faktor di atas adalah disebabkan oleh tekanan yang dialami oleh semua industri secara global disebabkan pandemik COVID-19 yang di luar kawalan dan ini menjawab persoalan YB Ipoh Barat berkenaan mengapa seramai 81,217 pekerja telah kehilangan pekerjaan walaupun PSU dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) telah dilaksanakan oleh Kerajaan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.