PM jamin bantuan JKM dinaikkan kepada RM1,000

286

3 DIS: Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memastikan cadangan menaikkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang pada masa ini berjumlah antara RM200 dan RM300 kepada RM1,000 dapat dilaksanakan dengan segera.

Menurut Perdana Menteri, golongan orang kurang upaya (OKU) juga pastinya termasuk dalam kumpulan masyarakat yang akan mendapat faedah dari kenaikan itu buat mereka yang layak.

“Mengikut rekod JKM, bilangan OKU berdaftar di Malaysia setakat ini adalah berjumlah 581,265 orang. Saya harap kempen mendaftarkan OKU dipergiatkan lagi bagi memastikan tiada OKU yang tercicir dan tidak diberikan perhatian.

“Perkara ini sangat penting untuk menjamin golongan ini tidak terlepas daripada menerima bantuan Kerajaan, terutamanya ketika situasi sukar penularan pandemik COVID-19.

“Saya doakan semoga golongan OKU diberikan tempat sebaiknya dalam kalangan masyarakat, seterusnya dapat sama-sama berperanan dalam pembangunan negara. Selamat Hari OKU Sedunia 2020,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari OKU hari ini .

Sementara itu, kata Perdana Menteri, golongan OKU adalah sebahagian daripada masyarakat yang sentiasa dekat dan diberi perhatian oleh beliau dan Kerajaan.

Sebagai Kerajaan yang prihatin, kata Muhyiddin, beliau akan memastikan golongan ini mempunyai hak dan peluang sama rata untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain.

“Saya sendiri telah beberapa kali turun menemui golongan ini sebagaimana ketika kunjungan saya ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang di Setapak serta PPR Taman Sri Keramat, Putatan, Sabah sebelum ini.

“Rentetan itu, Kerajaan melalui Kementarian Kewangan telah mengumumkan beberapa inisiatif yang boleh membantu golongan OKU ketika membentangkan Belanjawan 2021 baru-baru ini.

“Antaranya menaikkan bantuan bulanan OKU tidak berupaya bekerja daripada RM250 ke RM300, kadar elaun pekerja OKU RM400 ke RM450) serta bantuan penjagaan OKU daripada RM350 ke RM500,” jelasnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.