KKM belanja RM1.17b dana perang COVID-19

59

3 DIS: Kementerian Kesihatan telah memperuntukkan sebanyak RM1.17 bilion untuk memerangi pandemik COVID-19 sejak Mac sehingga 31 Oktober lalu, dan terus komited bagi memastikan barisan hadapan dan sistem kesihatan mempunyai dana yang mencukupi untuk melindungi rakyat.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata peruntukan tersebut digunakan kementerian bagi pembelian peralatan bekalan perubatan, barangan pakai habis, peralatan perlindungan diri (PPE), kit ujian pantas, serta lain-lain perkhidmatan dalam usaha mengawal wabak COVID-19 daripada meningkat di negara ini.

Menurut beliau, kesemua perbelanjaan itu telah digunakan di semua fasiliti kementerian termasuk hospital, klinik kesihatan dan klinik pergigian bagi melindungi petugas barisan hadapan di samping memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

AARON AGO DAGANG
AARON AGO DAGANG

“Sebahagian besar perbelanjaan tersebut untuk pembayaran elaun khas COVID-19 kepada petugas barisan hadapan di kementerian yang berjumlah RM275 juta, kedua pembelian kelengkapan PPE berjumlah RM262 serta pembelian kit ujian serta pembayaran sumber luar perkhidmatan makmal swasta untuk saringan ujian COVID-19 berjumlah RM210 juta.

“Jumlah ini tidak termasuk bayaran emolumen petugas yang terlibat dalam rawatan kawalan dan pencegahan COVID-19 di mana peruntukan tersebut di bawah peruntukan sedia ada Kementerian Kesihatan,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Aaron menjawab soalan Ahli Parlimen PAS Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli tentang jumlah perbelanjaan kementerian dalam menangani pandemik COVID-19 daripada 18 Mac 2020 sehingga 31 Oktober 2020.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Wan Hassan berkaitan tentang pelan kontingensi kerajaan dalam menyelesaikan permasalahan kes luar jangka COVID-19 dan jumlah perbelanjaan untuk perkara itu, Aaron berkata buat masa ini, pihaknya belum menerima makluman tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan sentiasa komited bagi memastikan pandemik COVID-19 ini dapat dikawal dan menghilangkan keresahan rakyat terhadap gelombang ketiga wabak tersebut.

“Anggaran kontigensi di masa depan belum ada tapi memang untuk Kementerian Kesihatan, walau begitu pada masa sama ini pun peruntukan RM1 bilion sudah melebihi jumlahnya.

“Kementerian Kesihatan sudah membelanjakan RM1.2 bilion. Jadi, kontigensi itu dalam peruntukkan sedia ada di Kementerian Kesihatan. Walau bajet tak cukup, Kementerian Kesihatan teruskan juga untuk pembayaran sepatutnya diadakan untuk wabak COVID-19,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.