KeTSA minta Zoo Negara laksana audit bebas

142

SUSULAN daripada beberapa isu mengenai Zoo Negara yang tular kebelakangan ini, saya telah mengadakan pertemuan dengan pihak Malaysian Zoological Society (MZS) selaku badan pengurusan Zoo Negara pada hari ini.

Pertemuan ini turut dihadiri oleh YB. Ali Biju, Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Zurinah Pawanteh, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta YBhg. Dato’ Sr. Zaharin Md. Ariff, Presiden MZS.

Beberapa perkara telah dibincangkan khususnya mengenai mekanisme pengukuhan operasi Zoo Negara terutama aspek tadbir urus supaya Zoo Negara lebih berdaya maju pada masa hadapan dan dalam masa yang sama memastikan kebajikan hidupan liar sentiasa terpelihara.

Saya telah memaklumkan komitmen Kementerian untuk menambah baik pengurusan Zoo dan Pameran Tetap (ZPT) di Semenanjung Malaysia dengan mengkaji semula peraturan yang berkaitan pengendalian ZPT di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2020 [Akta 716].

Ini bagi memastikan ZPT adalah berdaya maju dari segi kewangan (financially sustainable) dan kebajikan hidupan liar terpelihara.

Sungguhpun Zoo Negara dimiliki oleh NGO dan beroperasi sebagai entiti perniagaan, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk memperkasa Zoo Negara.

Antaranya seperti melaksanakan projekprojek menaik taraf Zoo Negara sejak Rancangan Malaysia Ke-7, pembangunan Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) bagi meningkatkan kehadiran pengunjung di Zoo Negara serta membantu menyediakan Model Perniagaan Zoo Bertaraf Dunia.

Kementerian mengambil maklum bahawa Zoo Negara telah menjana pendapatan termasuk sumbangan daripada pelbagai pihak sebanyak RM19.5 juta mulai Januari sehingga September 2020.

Mengikut rekod, setakat ini perbelanjaan hanya sebanyak RM9.4 juta. Oleh itu, saya yakin Zoo Negara masih berupaya untuk meneruskan kelangsungan operasi sekurang-kurangnya untuk tempoh masa 6 bulan akan datang.

Saya menekankan kepentingan Zoo Negara untuk menguruskan sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak secara telus dan berhemah.

Zoo Negara diminta melaksanakan audit bebas bagi meningkatkan ketelusan dan keyakinan semua pihak terhadap pengurusan Zoo Negara.

Zoo Negara juga disarankan untuk menyediakan 6 bulan dana kontigensi (contigency fund) bagi memastikan kelangsungan operasinya.

Di samping itu, pelan perniagaan yang berdaya maju wajar dibangunkan dan dilaksanakan dengan mempelbagaikan produk inovatif serta pemasaran produk dan perkhidmatan secara atas talian.

Program-program yang sedang dilaksanakan oleh Zoo Negara seperti ‘adopt an animal’ boleh diteruskan bagi mendapatkan sumbangan daripada pelbagai pihak untuk menampung keperluan kewangan yang diperlukan.

MZS menyambut baik saranan Kementerian dan berjanji untuk mengambil tindakan segera bagi mengukuhkan operasi kewangan Zoo Negara supaya lebih berdaya maju dan mengutamakan kebajikan hidupan liar.

YB DATO’ DR. SHAMSUL ANUAR BIN HJ NASARAH
MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI
3 Disember 2020

Get real time updates directly on you device, subscribe now.