Bawang India naik harga, beli dari negara lain

151

3 DIS: Orang ramai disarankan supaya membeli bawang merah dan bawang besar yang diimport dari negara-negara selain India kerana harganya lebih murah.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, bawang besar dan bawang merah dari India pernah mencapai harga antara RM13 hingga RM15 sekilogram ekoran banjir yang melanda negara itu.

Menurut beliau, bawang dari negara-negara lain seperti Thailand, Myanmar dan China turut dijual di pasaran.

ROSOL WAHID
ROSOL WAHID

“Tetapi oleh kerana rakyat kita suka makan bawang diimport dari India dan kebetulan sekarang ini dikatakan India mengalami masalah banjir, justeru bekalan dari India berkurangan, jadi adat dalam perniagaan jika pemintaan melebih penawaran maka harga akan meningkat.

“Jika pengguna mahu membeli mereka ada pilihan dengan membeli bawang dari negara lain dengan harga lebih murah iaitu dari China, Myanmar dan Thailand yang tiada kenaikan harga,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat sebentar tadi.

Rosol menjawab persoalan tentang isu bekalan dan kenaikan harga bawang dari India yang dibangkitkan Ahli Parlimen PH Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dalam sesi penggulungan sebelum itu.

Belanjawan peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu diluluskan setelah undian suara mendapati lebih ramai Ahli Parlimen yang bersetuju.

Dengan kelulusan itu, KPDNHEP akan menerima peruntukan lebih RM1.084 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menstabilkan dan mengawal kenaikan harga barang keperluan asas dan minyak masak serta program penyeragaman harga barang di Sabah, Sarawak dan Labuan. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.