43 kluster aktif, Usaha tertinggi

49

3 DIS: Sebanyak 43 kluster aktif COVID-19 melaporkan pertambahan kes pada hari ini dengan yang tertinggi melibatkan Kluster Usaha, 84 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster kedua tertinggi yang melaporkan kes baharu hari ini ialah Kluster Kaya, 74 kes dan Kluster Hentian (60 kes).

“Sehingga hari ini terdapat 373 kluster telah dilaporkan. Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 189 kluster.

“Ini termasuk tiga kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Bukit, Kluster Tujuh Serangkai dan Kluster Laut,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti empat kluster baharu di Selangor dan Sabah, hari ini.

“Kluster Jalan Kilang dan Kluster Perdana Enam di Lahad Datu masing-masing mengesan 24 dan 25 kes positif COVID-19.

“Selain itu, Kluster Jalan Kubota di Tawau pula mengesan 14 kes positif,” jelasnya.

Katanya, kluster keempat, Kluster Monsoon pula dikesan di Petaling, Selangor dengan membabitkan 19 kes positif Covid-19.

Sementara itu, kata Noor Hisham, sebanyak 48 kes baru COVID-19 dilaporkan berkaitan kluster-kluster di penjara.

“Ini membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (41 kes), Kluster Tembok (3 kes), Kluster Matambai (3 kes) dan Kluster Bakti (1 kes),” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.