Speaker tak pasti kesahihan tuduhan terhadap Willie

122

2 DIS: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menjelaskan, beliau tidak dapat membuat keputusan berhubung dakwaan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin menunjukkan isyarat lucah dalam sidang semalam.

Beliau secara jujur menyatakan tidak dapat lihat apa yang berlaku disebabkan oleh masalah penglihatan.

Azhar menambah, Willie juga telah menafikan sekeras-kerasnya melakukan perbuatan itu ketika memberi penjelasan malam tadi.

AZHAR AZIZAN HARUN
Azhar Azizan Harun memberi penjelasan tentang tuduhan terhadap Willie Mongin.

“Kemudian, saya telah melihat video yang tular itu banyak kali malah secara gerak perlahan.

“Saya tak dapat pastikan sama ada ia benar-benar berlaku atau tidak.

“Saya meminta pihak yang tidak gembira dengan perkara itu memfailkan usul dan biar Timbalan Menteri memberi diri di hadapan jawatankuasa,” katanya selepas sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini berakhir.

Terdahulu, Ahli Parlimen PH Kota Melaka, Khoo Poay Tiong bangkit dan meminta petua daripada Azhar berhubung dakwaan tersebut.

Sementara itu, berhubung usul berkaitan isu kekhilafan pengiraan undi belah bahagi Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan kelmarin, Azhar berkata, Ahli Parlimen PH Lembah Pantai, Fahmi Fadzil telah mengemukakan usul agar Ahli Parlimen Bersatu Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

“Saya tengah tunggu maklum balas Penasihat Undang-undang sebelum mengambil tindakan sewajarnya,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.