PKPD Taman Meru 2C Ipoh sambung lagi

174

2 DIS: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Zon B dan Zon C Taman Meru 2C, Ipoh yang sepatutnya berakhir esok dilanjutkan seminggu lagi sehingga 10 Disember ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan sebanyak 1,793 saringan dan sebanyak 66 kes positif COVID-19 telah direkodkan di lokaliti -lokaliti ini.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan turut mengesahkan masih terdapat baki sampel saringan yang masih belum mendapat keputusan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau turut mengumumkan penamatan PKPD di Kampung Nahaba dan Kampung Tegudon, Kota Belud tamat seperti yang dijadualkan esok.

Selain itu, PKPD Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai Utara, Pulau Pinang berakhir hari ini seperti yang dijadualkan.

PKPD di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau, Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan juga tamat seperti yang dijadualkan esok.

Berhubung penguatkuasaan, Ismail Sabri memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 285 individu semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

Menurut beliau, daripada jumlah itu, seramai 285 individu dikenakan kompaun manakala empat orang direman dan seorang dijamin.

“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (103), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (72), tidak memakai pelitup muka (67), rentas daerah/negeri perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (29), aktiviti pusat hiburan (7) dan lain-lain (12),” jelasnya.

Ismail Sabri menambah, seramai 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang tekong ditahan dalam Op Benteng di seluruh negara semalam. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.