Lima kluster baru, tiga di KL

207

2 DIS: Sebanyak 44 kluster aktif COVID-19 melaporkan pertambahan kes hari ini dengan kluster yang melaporkan penularan tertinggi adalah Kluster Batu Tujuh dengan 51 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kedua tertinggi ialah Kluster Beringin dengan 36 kes dan Kluster Kaya, 33 kes.

Katanya, pada masa sama sebanyak lima kluster baharu dikenal pasti hari ini dengan tiga daripadanya di Kuala Lumpur dan masing-masing satu di Selangor dan Johor.

“Pertama Kluster Desa Pinang melibatkan daerah Kepong, Lembah Pantai, Titiwangsa dan Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta daerah Gombak di negeri Selangor.

“Kes indeks telah dilaporkan positif COVID-19 pada 28 November hasil saringan individu bergejala. Sehingga 2 Disember, sejumlah 120 individu telah disaring, di mana 25 kes telah dikesan positif dalam kluster ini,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Kluster kedua hari ini pula katanya adalah Kluster Impian di daerah Gombak, Selangor dan kes indeks telah dilaporkan positif COVID-19 pada 29 November hasil saringan individu bergejala.

Ujar beliau, sehingga 2 Disember, sejumlah 220 individu telah disaring, di mana sembilan (9) kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

“Ketiga, Kluster Baloi di daerah Johor Bahru dan Pontian, Johor dengan kes indeks telah dilaporkan positif COVID-19 pada 28 November hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga hari ini, sejumlah 166 individu telah disaring, di mana 30 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” jelasnya.

Tambah Noor Hisham, kluster keempat pula ialah Kluster Jernai di daerah Titiwangsa Kuala Lumpur dengan kes indeks telah dilaporkan positif COVID-19 pada 29 November hasil saringan sebelum ke luar negara.

Katanya, sehingga 2 Disember, sejumlah 45 individu telah disaring, di mana 13 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

“Terakhir Kluster Seri Wangsa juga di daerah Titiwangsa. Kes indeks telah dilaporkan positif COVID-19 pada 29 November hasil saringan individu bergejala.

‘Sehingga 2 Disember 2020, sejumlah 154 individu telah disaring, di mana lapan kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.