Kesan ekonomi COVID-19 hanya sementara

97

2 DIS: Kerajaan yakin kesan penyederhanaan terhadap ekonomi negara akibat penularan COVID-19 adalah bersifat sementara memandangkan beberapa indikator terkini telah menunjukkan pretasi ekonomi negara pada suku ketiga 2020 kini semakin pulih dan bertambah baik.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Arthur Joseph Kurup berkata, perkara itu terbukti apabila indeks pengeluaran sektor pembuatan meningkat sebanyak 2.1 peratus pada September lalu berbanding pengucupan 2.1 peratus pada Ogos 2020.

Beliau berkata, dari segi nilai jualan sektor pembuatan peningkatan sebanyak 3.7 peratus pada bulan September kepada RM121.2 bilion.

ARTHUR JOSEPH KURUP

“Harga minyak sawit mentah kembali mencecah paras melebihi RM3,000 setan pada November 2020 iaitu kini berharga RM3,422.00 setan berbanding paras terendah RM2,074 per tan pada Mei lalu.

“Harga getah SMR20 sudah meningkat kepada paras tertinggi kepada RM6.33 per kilogram pada November berbanding nilai terendah RM4.73 pada April 2020.

“Ini menunjukkan sektor pembuatan dan pertanian adalah penyumbang utama dalam membantu merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi semasa Covid-19,” katanya dalam sesi soal jawab Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen GPS Kota Samarahan, Rubiah Wang, yang meminta Perdana Menteri menyatakan lima kedudukan sektor ekonomi berdasarkan rangking yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara serta apakah sektor yang banyak membantu pertumbuhan ekonomi negara semasa COVID-19.

Arthur menambah, sektor perkhidmatan adalah penyumbang terbesar kepada ekonomi negara iaitu 57.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2019.

Menurut beliau, sektor kedua terbesar adalah sektor pembuatan yang menyumbangkan sebanyak 22.3 peratus kepada KDNK Malaysia, pada 2019.

“Ini diikuti oleh sektor pertanian, perlombongan dan pengkuarian yang masing-masing menyumbang kepada 7.1 peratus daripada KDNK.

“Sektor pembinaan pula menyumbang sebanyak 4.7 peratus daripada KDNK dalam tempoh sama. Pandemik COVID-19 memberi kesan amat ketara kepada ekonomi negara,” katanya.

Bagaimanapun, Arthur berkata pertubuhan KDNK pada Januari hingga September telah mengucup sebanyak 6.4 peratus dan prestasi ekonomi pada suku ketiga 2020 masih mencatatkan pengucupan sebanyak 2.3 peratus.

“Bagaimanapun, penguncupan berkenaan adalah lebih rendah berbanding suku kedua 2020,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.