Kemas bukan instrumen politik – Abd Latiff

87

2 DIS: Dakwaan pihak tertentu kononnya Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dijadikan alat politik adalah tidak berasas sama sekali.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, Kemas sepatutnya dilihat sebagai entiti tersendiri yang berperanan mendidik kanak-kanak di peringkat prasekolah.

“Saya harap Yang Berhormat Sungai Buloh (Sivarasa Rasiah) lebih faham, ia bukan instrumen politik seperti yang diuar-uarkan.

“Ia bukan seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang dulu,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Belanjawan bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) diluluskan setelah undian suara mendapati lebih ramai Ahli Parlimen yang bersetuju.

Dengan kelulusan itu, KPLB diberikan peruntukan berjumlah RM10.19 bilion dalam Belanjawan 2021 bagi menjayakan lebih banyak projek pembangunan di kawasan luar bandar merangkumi infrastruktur dan juga ekonomi serta modal insan.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Abd Latiff menarik perhatian tentang peruntukan Kemas berjumlah RM30 juta yang dikatakan agak terbatas untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi jabatan itu termasuk dari segi hak milik tanah bangunan tabika.

“Walau bagaimanapun, masalah kita tidak semua bangunan tabika Kemas ini kepunyaan Kemas. Tanah ini ada dipunyai oleh individu atau diwakafkan. Jadi, isu-isu masalah tanah ini menjadi permasalahan besar,” jelasnya.

Beliau percaya masalah tersebut yang berpanjangan sejak sekian lama boleh diselesaikan sekiranya Kemas menerima peruntukan yang lebih besar. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.