Hotel baharu Bukit Fraser tampung kebanjiran pelancong

181

2 DIS: Pembinaan premis penginapan baharu di Bukit Fraser boleh menampung jumlah pelancong yang semakin bertambah ke pusat peranginan tersebut, lebih-lebih lagi pada cuti hujung minggu dan hari kelepasan am.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pada masa ini, hanya terdapat tiga buah hotel dengan kapasiti keseluruhan 370 bilik di sekitar Bukit Fraser.

Menurut beliau, hotel-hotel sedia ada merupakan bangunan lama justeru pembinaan premis penginapan baharu mampu menarik kunjung lebih ramai pelancong termasuk pelanggan korporat.

nancy shukri
NANCY SHUKRI

“Namun pada masa yang sama, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyarankan agar sebarang pembangunan di kawasan ini akan mengekalkan dan memelihara tema atau konsep Bukit Fraser dengan mengekalkan facade bangunan mengikut kesesuaian alam sekitar dan sejarah setempat.

“Sebagai contoh, sebarang pembangunan baharu di kawasan ini hendaklah mengekalkan konsep tudor sesuai dengan jolokan Bukit Fraser sebagai The Little England,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Nancy menjawab soalan Ahli Parlimen PH Raub, Tengku Zulpuri Raja Puji tentang tindakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berhubung bantahan orang ramai terhadap pembinaan sebuah hotel baharu setinggi 15 tingkat di Bukit Fraser.

Beliau menambah, projek pembinaan hotel baharu tersebut adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri Pahang dan Majlis Daerah Raub.

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan tambahan Tengku Zulpuri agar MOTAC bertindak segera agar mampu mempengaruhi kerajaan negeri agar tempat penghijrahan burung di Bukit Fraser tidak terjejas, Nancy memberitahu pihaknya telah mengenal pasti perkara tersebut namun mengesahkan tiada perbincangan dilakukan bersama kementerian.

“Cadangan pembinaan hotel baharu 15 tingkat yang turut mengakibatkan perobohan bangunan lama di Bukit Fraser yang tidak dirujuk terlebih dahulu dengan Jabatan Warisan Negara mahupun Pejabat MOTAC Pahang bagi mendapatkan pandangan dan nasihat namun seperti saya nyatakan, kita telah minta supaya sesiapa yang nak cadangkan apa-apa melibatkan pelancongan.

“Walau ini bukan di bawah kementerian kita namun elok kita bawa bersama untuk berbincang. Setakat ini, kita belum menerima apa-apa cadangan untuk membawa kita bersama. Belum mendapat kelulusan pun atau cadangan dibawa bersama kita untuk berbincang bagi membolehkan kami memberi pandangan kami,” jelasnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.