Hantar pulang Giant Panda ke China selepas COVID-19

98

Zoo Negara seperti dilaporkan dalam akhbar Berita Harian, Harian Metro dan beberapa media tempatan lain pada 29 November 2020 memohon kerajaan untuk mempertimbangkan kadar yang lebih rendah terhadap bayaran elektrik untuk mengurangkan kos pengurusan Giant Panda di Zoo Negara. Akhbar yang sama pada 30 November 2020 juga melaporkan desakan Persatuan Haiwan Malaysia untuk memulangkan Giant Panda ke negara asalnya kerana kos pengurusan yang tinggi.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah bekerjasama dengan Zoo Negara dalam Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda pada tahun 2013 untuk menempatkan pasangan Giant Panda bagi meningkatkan kehadiran pengunjung di Zoo Negara.

Pada asalnya, kerajaan merancang untuk menempatkan pasangan Giant Panda di Putrajaya. Walau bagaimanapun, kerajaan mempertimbangkan permintaan Persatuan Zoologi Malaysia(MZS) untuk menempatkan Giant Panda di Zoo Negara setelah mengambil kira jalinan kerjasama strategik antara kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO), kesesuaian lokasi dan bilangan pengunjung yang ramai di Zoo Negara serta kepakaran Zoo Negara dalam pengurusan hidupan liar selama lebih 50 tahun.

Shamsul Anuar Nasarah
SHAMSUL ANUAR NASARAH

Melalui perjanjian yang ditandatangani di antara PERHILITAN dengan MZS pada 22 Jun 2013, Kerajaan bertanggungjawab dalam membangunkan Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) dan membiayai yuran konservasi tahunan Giant Panda. Manakala MZS pula bertanggungjawab membiayai perlindungan insuran, yuran anak panda, kos penghantaran pulang anak panda serta kos operasi pengurusan Giant Panda. Walau bagaimanapun, sebagai tanda prihatin, kerajaan telah membiayai yuran anak panda dan kos penghantaran pulang anak panda yang pertama pada tahun 2017 serta bayaran pakar Giant Panda daripada China yang ditempatkan di PKGP.

Pihak kerajaan mengambil maklum desakan orang ramai serta persatuan supaya kerajaan memulangkan semula Giant Panda ke negara asalnya. Sebarang keputusan untuk memulangkan semula panda ini mestilah mengambil kira ikatan perjanjian yang telah ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan China.

Perjanjian Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda antara kerajaan Malaysia dan China melalui Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China (CWCA) dimeterai untuk tempoh 10 tahun bermula pada tahun 2014 (iaitu tahun ketibaan pasangan Giant Panda di Malaysia). Persetujuan China meminjamkan pasangan Giant Panda kepada Malaysia membuktikan hubungan istimewa yang terjalin di antara kedua-dua negara sejak hubungan diplomatik diwujudkan pada tahun 1974.

PENGHANTARAN PULANG ANAK GIANT PANDA

Pasangan Giant Panda ini telah melahirkan dua anak iaitu Nuan Nuan pada tahun 2015 dan Yi Yi pada tahun 2018. Setiap anak Giant Panda perlu dihantar pulang ke RRC apabila usia mencecah 24 bulan dan tidak melebihi usia 4 tahun. Nuan Nuan telah dihantar pulang ke China pada tahun 2017.

Yi Yi pula berusia genap 2 tahun pada 14 Januari 2020 dan sepatutnya dihantar pulang ke China pada April 2020 tetapi terpaksa ditangguhkan sehingga kini kerana pusat konservasi di China masih ditutup berikutan pandemik COVID-19. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli akan melaksanakan penghantaran pulang Yi Yi secepat mungkin selepas tarikh dipersetujui oleh China.

PERTEMUAN BERSAMA PENGURUSAN ZOO NEGARA

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli sentiasa berusaha untuk menyokong inisiatif Zoo Negara. Saya akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan Zoo Negara pada hari Khamis ini untuk membincangkan mekanisme pengukuhan operasi Zoo Negara khususnya dalam aspek tadbir urus supaya lebih berdaya maju dan pada masa yang sama memastikan kebajikan hidupan liar sentiasa terpelihara.

BANTUAN KEPADA ZOO NEGARA

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan haiwan di Zoo Negara yang berhadapan dengan krisis kewangan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sejak Januari hingga September 2020, Zoo Negara telah berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM10.6 juta daripada pelbagai pihak dalam bentuk kewangan dan makanan haiwan. Jumlah ini sepatutnya adalah lebih daripada mencukupi untuk menampung keperluan makanan haiwan berdasarkan rekod perbelanjaan Zoo Negara. Oleh itu, Zoo Negara hendaklah menguruskan sumbangan yang diterima secara telus dan berhemah.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli juga tidak pernah ketinggalan dalam membantu Zoo Negara walaupun ia dimiliki oleh NGO dan beroperasi sebagai entiti perniagaan. Zoo Negara diberikan permit pengendalian zoo secara tahunan oleh PERHILITAN.

Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar sebanyak RM1.3 juta telah disalurkan kepada Zoo Negara pada 10 April 2020 untuk menampung keperluan bekalan makanan hidupan liar, pengurusan husbandri dan ubat-ubatan. Diskaun 15% bil elektrik secara bulanan selama enam (6) bulan juga telah diberikan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0).

Bantuan kerajaan kepada Zoo Negara bukan sahaja dilaksanakan dalam tempoh PKP, sebaliknya peruntukan kewangan telah disalur sejak awal penubuhan Zoo Negara. Setakat ini Kerajaan telah menyediakan peruntukan lebih RM50 juta bagi pelbagai projek menaik taraf Zoo Negara sejak Rancangan Malaysia Ke-7.

DATUK DR SHAMSUL ANUAR NASARAH
Menteri Tenaga Dan Sumber Asli

Get real time updates directly on you device, subscribe now.