Edar dadah, 2 sahabat berdepan hukuman gantung

83

2 DIS: Dua sahabat berdepan hukuman gantung sampai mati sekiranya didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine dan kanabis, seberat 226 kilogram (kg) pada September lalu.

Tertuduh, Mohd Zamidi Mat, 31, dan Mohd Firdaus Abdullah, 21, berdepan tuduhan tersebut ketika dihadapkan Mahkamah Majistret Kangar, hari ini.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Kamariza Mat Zain.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mengedar dadah jenis metamphetamine seberat 126 kg di FELDA Rimba Mas, Padang Besar, kira-kira jam 12.15 tengah malam pada 2 September lalu.

Bagi pertuduhan kedua, mereka secara bersama didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 100 kg pada tarikh dan tempat sama.

Susulan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Joydia Por Yi Tying, manakala kedua-dua tertuduh diwakili Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Februari depan sebagai tarikh bagi sebutan semula kes dan mendapatkan laporan kimia.

Sebelum ini, media melaporkan tiga individu termasuk dua beranak ditahan bersama 100 kilogram ketulan mampat ganja bersama 126 kilogram syabu yang dimuatkan ke dalam lima karung guni dan 18 beg di FELDA Rimba Mas, Padang Besar.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, ketiga-tiga mereka dipercayai mengetuai rangkaian sindiket pengedaran dadah bernilai RM6.58 juta yang menjadi nilai terbesar rampasan di negeri itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.