Britain mula guna vaksin COVID-19 minggu depan

135

2 DIS: Britain menjadi negara pertama meluluskan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech untuk kegunaan ramai bermula minggu depan.

Malah dijangkakan langkah ini akan diikuti beberapa negara lain dalam tempoh beberapa hari atau minggu lagi terhadap vaksin keluaran Pfizer.

“Kerajaan hari ini menerima cadangan Agensi Perundangan Perubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) untuk meluluskan vaksin COVID-19 Pfizer-BioTech.

“Vaksin ini boleh didapati di seluruh Britain bermula minggu depan,” kata kerajaan negara itu dalam satu kenyataan hari ini.

Keutamaan akan diberikan kepada penghuni rumah jagaan, petugas kesihatan, warga emas dan golongan berisiko tinggi.

Selepas menjalankan ujian klinikal selama beberapa bulan dan menganalisis data, MHRA merumuskan bahawa vaksin terbabit memenuhi standard kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

“Bagi membantu kejayaan program vaksin, adalah penting untuk semua individu memainkan peranan dan mematuhi peraturan ditetapkan di kawasan masing-masing, supaya virus ini dapat dibendung serta membolehkan Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) melaksanakan kewajipan mereka dengan tenang,” kata kenyataan itu.

Pengerusi Pfizer, Albert Bourla berkata, ia adalah detik bersejarah dalam perang menentang COVID-19.

“Kebenaran ini adalah matlamat yang mahu kami capai sejak mula mengisytiharkan bahawa sains akan menang, dan kami mengucapkan tahniah pada MHRA atas kejayaan mereka menjalankan penilaian secara terperinci, serta mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu melindungi rakyat UK,” katanya.

Pfizer dan BioNTech menambah, mereka menjangkakan keputusan sama dari sejumlah negara lain dalam tempoh beberapa hari atau minggu lagi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.