Bekas pengarah telco didakwa minta rasuah

137

2 DIS: Seorang bekas pengarah syarikat telekomunikasi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua tuduhan meminta rasuah bagi projek pembekalan perkhidmatan sokongan pelanggan di Axiata Group Bhd (Axiata).

Bagaimanapun, Chin Peng, 41, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Manirah Mohd Nor.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Chin Peng didakwa meminta suapan 10 peratus bagi pembekalan perkhidmatan Axiata Servis Pengurusan Bantuan Pelanggan dan 20 peratus bagi pembekalan perkhidmatan Axiata MIFE Billing Managed Services pada setiap bulan daripada Lee Kok Seong.

Chin Peng turut didakwa meminta rasuah 24 peratus daripada tuntutan setiap bulan untuk projek Axiata Servis Pengurusan Bantuan Pelanggan, Axiata MIFE Billing Managed Services dan Apigate’s Onboarding Managed Services serta19 peratus untuk projek Software Enhancement daripada Kok Seng.

Rasuah itu sebagai dorongan untuk membantu Syarikat Skytree Sdn Bhd bagi mendapatkan kerja pembekalan perkhidmatan pelanggan di Axiata Digital Services Sdn Bhd dan Apigates Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah restoran di Jalan Klang Lama di sini,

antara Ogos 2017 dan September 2018 dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah mengguna pakai jaminan RM50,000 seperti di MahkamahSesyen Shah Alam memandangkan tertuduh sudah dituduh di sana.

“Saya juga memohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Shah Alam memandangkan ia berkait dengan perbicaraan di sana.

“Tarikh sebutan di Mahkamah Sesyen Shah Alam sudah ditetapkan pada 16 Disember ini,” katanya.

Permohonan itu tidak dibantah peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan yang mewakili tertuduh.

Mahkamah membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan mengguna pakai jaminan serta syarat tambahan sama.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang peguam mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu anak guamnya membabitkan wang tunai RM73,000.

Berdasarkan kertas pertuduhan, P Nagarajan, 52, didakwa memperdayakan S Bala Krishnan untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa supaya tidak ditangkap oleh SPRM berkaitan siasatan penyelewengan dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran.

Tindakan itu mendorang mangsa menyerahkan wang tunai RM73,000 di tepi jalan, Taman Danau Desa, di sini, jam 2 petang, pada 15 September 2017 dan didakwamengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar, memohon kes dipindah dan dibicarakan dengan empat pertuduhan lain di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

“Di Mahkamah Sesyen Shah Alam, mahkamah menetapkan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

“Kami ingin mengguna pakai syarat yang ditetapkan di Mahkamah Shah Alam yang turut menetapkan 22 Januari depan untuk sebutan semula kes,”katanya.

Perkara itu sekali lagi tidak dibantah peguam R Vikram yang mewakili tertuduh.

Hakim membenarkan permohonan untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan mengguna pakai jaminan serta syarat tambahan sama.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.