851 kes baru, Lembah Klang tertinggi

522

2 DIS: Kes harian baru COVID-19 turun kepada tiga angka dengan 851 penularan direkodkan di seluruh negara sejajar dengan kes yang lebih rendah dicatatkan di Selangor berbanding semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keseluruhannya, kes positif COVID-19 di Malaysia kini mencecah 68,020 kes.

Menurut beliau, bilangan kes sembuh daripada jangkitan virus itu yang dilaporkan hari ini adalah sebanyak 658 kes dan ini menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 ketika ini berjumlah 10,686 kes.

“Negeri-negeri di Lembah Klang melaporkan jumlah kes harian sebanyak 334 kes (39.2 peratus). Daripada jumlah ini, negeri Selangor melaporkan sebanyak 249 kes (74.6 peratus).

“Jumlah pelaporan kes harian kedua tertinggi pula dicatatkan oleh negeri Sabah iaitu sebanyak 229 kes (26.9 peratus) dan diikuti dengan negeri Johor sebanyak 102 kes (12.0 peratus),” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Tambah Noor Hisham, sebanyak 17 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok (14 kes), Kluster Matambai (2 kes) dan Kluster PTS Sibuga (1 kes).

Menurut beliau, daripada jumlah kes baharu hari ini, terdapat empat kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah 847 kes.

Sehingga kini, katanya, terdapat 122 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 47 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 365 kes (0.54 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Kedua-duanya dilaporkan di Kota Kinabalu, Sabah. Kes pertama melibatkan seorang lelaki warganegara berusia 84 tahun manakala kes kedua juga seorang lelaki.

“Individu berkenaan bukan warganegara berusia 63 tahun. Kedua-dua kes mempunyai latar belakang penyakit kronik,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.