2 inisiatif kerajaan atasi masalah tenaga kerja

129

2 DIS: Kerajaan telah melaksanakan dua inisiatif utama bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja yang kritikal termasuk dalam sektor perladangan dan komoditi berikutan gelombang ketiga pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi I, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, sebagai penyelesaian jangka pendek kerajaan memberi kelonggaran kepada majikan yang terkesan dan tidak berkeupayaan untuk untuk memindah atau menukarkan keseluruhan atau sebahagian pekerja asing mereka kepada syarikat lain melalui Permohonan Pertukaran Majikan (PTM).

Beliau berkata, kerajaan juga telah melancarkan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang bermula pada 16 November 2020 hingga 30 Jun 2021 yang merangkumi dua komponen utama program khas iaitu Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

WEE JECK SENG
WEE JECK SENG

“Program Rekalibrasi Pulang merupakan program yang membenarkan PATI untuk pulang ke negara asal secara sukarela tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang ditetapkan.

“Program Rekalibrasi Tenaga Kerja pula merupakan suatu program khas untuk meregularisasikan PATI di negara ini sebagai pekerja asing yang sah digajikan oleh majikan yang layak tertakluk kepada syarat-syarat ketat yang diputuskan oleh kerajaan,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PAS Setiu, Shaharizukirnain Abd. Kadir yang meminta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyatakan mekanisme perancangan Kementerian bagi menangani impak besar pengurangan pekerja asing dalam sektor perladangan.

Mengulas lanjut, Jeck Seng berkata kementerian juga akan melipatgandakan usaha untuk mengisi kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan dan industri komoditi dengan mengadakan kempen untuk mengajak lebih ramai rakyat tempatan termasuk golongan Orang Asli bekerja di sektor berkenaan.

Beliau berkata, KPPK akan terus bergerak ke arah memberi keutamaan kepada rakyat tempatan bekerja di sektor perladangan dan industri komoditi selain memperkasa modal insan melalui latihan dan kursus di bawah Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).

“KPPK dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan akan terus berusaha keras membantu sektor agrikomoditi mendapatkan pekerja melalui kempen menggalakkan penyertaan rakyat tempatan bekerja di sektor ini,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.