Wayang pembangkang, bajet KPN lulus tanpa belah bahagi

185

1 DIS: Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perpaduan Negara (KPN) hari ini diluluskan tanpa halangan yang besar daripada pembangkang.

Berikutan kelulusan itu, KPN diberikan peruntukan berjumlah RM423.28 juta dalam Belanjawan 2021 untuk menjayakan Agenda Perpaduan Negara (APN) dan Dasar Perpaduan Negara (DPN) mulai tahun depan.

Terdahulu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, menegaskan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil keputusan mewujudkan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) kerana terdapat keperluan mendesak untuk melaksanakan Agenda Perpaduan Nasional.

“Apabila KPN diwujudkan maka sudah pasti peruntukan diberikan adalah lebih tinggi berbanding disalurkan kepada Jabatan Perpaduan dan Intergrasi Nasional, sebelum ini.

“Kalau dulu JPNIN tetapi bermula pada 10 Mac lalu kita menjadi sebuah kementerian, sudah pasti ada sedikit sebanyak peningkatan dari segi peruntukan disalurkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

Sementara itu, Halimah memberitahu, sebuah jawatankuasa teknikal telah ditubuhkan dengan melibatkan empat kementerian bagi meningkatkan penghayatan Rukun Negara di peringkat pendidikan awal kanak-kanak, sekolah menengah serta institusi pendidikan tinggi (IPT).

“Kita memperkasakan Kelab Rukun Negara di sekolah rendah dan menengah. Di universiti, kita perkukuh di peringkat sekretariat Rukun Negara.

“Gerakan sedang dibuat dengan kerjasama empat kementerian supaya ia dapat dilaksana dengan baik,” jelasnya.

Beliau memberitahu, inisiatif itu tidak melibatkan subjek baharu tetapi diserap dalam mata pelajaran sedia ada seperti Pendidikan Sivik. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.